am@hmetro.com.my
Tamparuli: Lebih 1,500 pengguna Jalan Lama Tamparuli-Ranau di sini, bakal terputus hubungan dengan kawasan lain, jika beberapa bahagian laluan itu yang terjejas kejadian mendapan, hakisan dan runtuh tidak dibaiki dalam waktu terdekat.
Difahamkan, kejadian yang mengancam kemudahan penting pengguna membabitkan penduduk tujuh kampung berhampiran jalan itu berpunca faktor cuaca kerap hujan sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, pengguna dari Kampung Togop, Lingga, Bambangan Lama, Namadan, Rangalau Lama dan Bawang terpaksa terus menggunakan jalan itu, walaupun sedar risiko bahaya menanti kerana tiada pilihan.
Tinjauan mendapati beberapa bahagian jalan itu mengalami mendapan, hakisan dan runtuhan serius sehingga menyebabkan laluan boleh digunakan kenderaan menjadi sempit.
Jabatan Kerja Raya (JKR) hanya meletakkan kon dan pita berhampiran bahagian jalan yang bermasalah itu sebagai tanda peringatan kepada pengguna supaya berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.
Pengguna, Edward Johnson, 64, berkata, ada kejadian mendapan dan runtuhan pada bahagian jalan itu berlaku lebih setahun lalu, namun tiada pembaikan dilakukan sehingga ini.
“Apa yang dilakukan JKR hanya meletakkan kon dan pita berhampiran lokasi kejadian sebagai tanda peringatan membolehkan pengguna mengetahui kawasan terbabit berlaku kerosakan jalan berkenaan.
“Bagi penduduk yang biasa dengan keadaan jalan itu, tidak menimbulkan masalah besar, namun kepada pengguna baharu yang menggunakan laluan terbabit, kerosakan itu boleh mendatangkan risiko bahaya terutama yang melalui kemudahan itu waktu malam,” katanya.
Dia berkata, selain kegunaan penduduk setempat, jalan itu turut menjadi kemudahan tenaga pengajar serta murid Sekolah Kebangsaan (SK) Togop, SK Lingga, SK Rangalau Lama dan SK Bawang.
Rosman Jumari, 57, pula berkata jalan yang wujud sejak 1950-an itu sering berdepan ancaman mendapan, hakisan dan runtuhan kerana kedudukannya berada di kawasan berbukit.
“Apabila hujan lebat tidak henti berlaku, berapa bahagian jalan itu mudah berlaku mendapan, runtuhan dan hakisan selain permukaan laluan tertimbus tanah lumpur yang runtuh dari bukit.
“Jika kejadian itu berlaku dan lewat dibersihkan, pergerakan penduduk keluar masuk terjejas seperti kejadian enam bulan lalu, apabila beberapa bahagian jalan mengalami mendapan, runtuhan dan tertimbus tanah,” katanya.
Dia berkata, kesan kejadian fenomena alam pada jalan itu Julai 2024 itu masih belum dibaiki sehingga ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd