KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail menyeru umat Islam di negara ini berwaspada dengan golongan asatizah yang membawa pendekatan garis keras dalam pembelaan terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Beliau menasihatkan agar sikap melampau, sama ada ‘ifrat’ (berlebih-lebihan) atau ‘tafrit’ (terlalu longgar), serta sikap ‘tasahhul’ (berlembut) dan ‘tasyaddud’ (berkeras), dijauhi dalam kehidupan beragama.
Ahli Parlimen Jasin itu mengingatkan bahawa dalam setiap aliran, terdapat golongan garis keras, termasuk kalangan pembela ASWJ yang mudah mengkafirkan ulama, termasuk tokoh terkenal seperti Imam Asy-Sha’rawi dan Sheikh Al-Qaradhawi.
Golongan itu menurutnya, yang dirujuk oleh seorang ulama Hadhramaut sebagai ‘Wahabiyyussunni’, sering menyesatkan dan mengkafirkan ulama yang berbeza pandangan dengan mereka.
“Golongan garis keras ini sedia menghukum khawarij sesiapa sahaja yang tidak sesuai dengan fikiran mereka lantas dengan itu menghalalkan darah saudara-saudara Muslim mereka. Golongan ini muncul di pelbagai negara Islam.
“Golongan ini dari sudut akidah, mereka berpegang dengan Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Namun dari sudut akhlak, sikap dan pendekatan, mereka lebih menyerupai sifat keras dan takfiri golongan khawarij.
“Justeru itu mereka digelar ‘Wahabiyyussunni’ atau dengan lain perkataan orang-orang sunni yang pelampau seperti Wahabi. Cuma dalam hal ini yang menjadi sasaran adalah golongan yang mereka anggap berpegang dengan fahaman Wahabi.
“Yang secara menyeluruh mereka cop sebagai Khawarij moden. Mereka sangat bernafsu menuduh sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan mereka sebagai Khawarij,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Akan tetapi menurutnya, sama ada mereka sedar atau tidak, mereka juga adalah pembawa sifat-sifat khawarij tersebut di zaman ini.
Beliau menjelaskan bahawa, mereka tanpa takut kepada Allah mendukung fatwa yang menghalalkan darah dan membunuh ribuan umat Islam dari ahli qiblat secara pukal.
“Itulah manifestasi Khawarij yang sebenar. Mereka dan sesiapa yang bersetuju terhadap fatwa menghalalkan darah umat Islam itu akan turut sama bertanggungjawab di hadapan Allah pastinya,” katanya.
Beliau menyebut insiden tragis di Raba’ah, Mesir, pada 14 Ogos 2013, sebagai manifestasi sifat ekstrem itu.
Menurutnya, lebih daripada seribu penunjuk perasaan aman terbunuh atas tuduhan sebagai Khawarij moden tanpa melalui proses mahkamah yang sah.
Tuan Guru Zulkifli menyifatkan peristiwa itu sebagai salah satu pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat dalam sejarah moden.
Katanya, naratif serupa kini cuba dibawa oleh golongan asatizah garis keras di Malaysia dengan menggunakan tulisan-tulisan berbentuk hasutan yang berpotensi menghalalkan tindakan kekerasan terhadap golongan tertentu atas nama agama.
“Ahlu Sunnah tidak menganjurkan kebencian dan persengketaan atas dasar perbezaan mazhab. Apatah lagi pembunuhan pukal terhadap ahlul kiblat.
“Dalam sejarah awal umat Islam hanya Khawarij yang berbuat demikian,” katanya memberikan peringatan kepada masyarakat Malaysia.
Beliau turut menegaskan bahawa orang Melayu Islam di Malaysia tidak boleh terikut-ikut dengan budaya ekstrem yang diimport dari luar.
Beliau mengaitkan fenomena perpecahan itu dengan agenda kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat, yang bertujuan melemahkan negara Islam melalui sekterianisme.
Beliau menyebut laporan RAND Corporation sebagai bukti adanya usaha terancang untuk memecahbelahkan umat Islam.
“Justeru itu sikap menggila kumpulan garis keras ini dalam mengkhawarijkan sesama Islam dan memetik api kebencian dan permusuhan atas nama mazhab.
“Namun dalam waktu yang sama bersikap diam terhadap agenda-agenda golongan liberal sekular yang sedang merosakkan negara.
“(Semua ini) sudah cukup menimbulkan kesangsian terhadap motif sebenar kumpulan asatizah golongan garis keras tersebut. Siapakah sebenarnya di belakang mereka?” katanya lagi.
Beliau menyatakan bahawa kedua-dua golongan ekstrem, sama ada Wahabi atau ‘Wahabiyyussunni’ dari kalangan asatizah garis keras, tidak sesuai untuk rakyat Malaysia.
“Mereka bersifat pelampau dan berperanan sebagai batu api atau pengadu domba, pemecah belah ummat dan perosak akhlak para agamawan. Justeru itu berhati-hatilah,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/1/2025