APMM tahan kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran

APMM tahan kapal kargo berlabuh tanpa kebenaran

Shah Alam: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah kapal kargo kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 26 batu nautika barat daya Sekinchan, pada 1.40 tengah hari semalam.

Pengarah APMM Selangor Kepten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal itu ditahan ketika bot ronda agensi itu melaksanakan operasi bersepadu Op Ehsan dan Op Tiris di perairan Selangor.

Beliau berkata, penahanan berkenaan hasil maklumat dan kerjasama Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah (JLMWT) serta Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang, yang mengesan kedudukan kapal itu berlabuh di luar batas Pelabuhan Klang tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kapal terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Singapura menuju ke India bersama 22 kru lelaki termasuk nakhoda berusia di antara 28 hingga 63 tahun, kesemua mereka adalah warga China yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Muhaimin berkata, perintah penahanan ke atas kapal itu sudah dikeluarkan, manakala dua kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengusaha perkapalan atau pemilik kapal untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan perlu mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top