Lokasi lubang benam di Jalan Masjid India sudah pulih, dibuka kepada orang ramai

Lokasi lubang benam di Jalan Masjid India sudah pulih, dibuka kepada orang ramai

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jalan Masjid India di sini, yang sebelum ini ditutup untuk laluan orang ramai susulan insiden lubang benam hingga mengorbankan seorang wanita warga India pada 23 Ogos lalu kini dibuka sepenuhnya untuk orang ramai.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, kerja pemulihan dan pembaikan yang dijalankan berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal iaitu pada Februari 2025.

Beliau berkata, susulan insiden itu juga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menubuhkan satu pasukan khas bagi menilai keselamatan struktur tanah, menyediakan cadangan teknikal, serta mengkoordinasi tindakan pelbagai agensi.

“Antara agensi luar yang terbabit adalah Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya (Cawangan Kejuruteraan Geoteknik), Institusi Jurutera Malaysia serta Pertubuhan Geoteknikal Malaysia.

“Pasukan Khas yang dibentuk telah bermesyuarat lebih dari lima kali secara fizikal dan maya, dan yang terakhir pada 18 Disember lalu bagi membincangkan penyediaan Laporan Akhir Insiden Lubang Benam.

“Ulasan daripada pasukan khas ini diterima dan dikumpulkan oleh DBKL. DBKL sedang membuat penelitian terhadap keseluruhan isi kandungan laporan dan akan dikemukakan kepada kabinet pada awal 2025 sebelum disahkan untuk disiarkan kepada umum,” katanya pada sidang media di Jalan Masjid India di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh fasa pemulihan dan pembaikan, pemeriksaan terperinci dilaksanakan membabitkan kerja-kerja penyiasatan tanah secara deep boring (kaedah penyiasatan tanah) bagi mendapatkan profil tanah di sekitar Jalan Masjid India.

“Sebanyak empat ujian deep boring dijalankan bagi menentu ukur lapisan tanah dan hasil dapatan dimasukkan di dalam laporan akhir insiden Jalan Masjid India.

“Selain itu, beberapa kerja dilaksanakan termasuk baik pulih saluran kumbahan yang rosak oleh pihak Indah Water Konsortium (IWK), kerja pembaikan kemasan siar kaki di lokasi kejadian yang rosak, serta pembaikan dan naik taraf saluran longkang di kawasan sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India yang disiapkan oleh DBKL,” katanya.

Maimunah berkata, DBKL turut melakukan pemantauan secara visual di kawasan sekitar insiden secara berkala.

“Pemeriksaan seumpama ini akan terus dijalankan oleh DBKL bersama pihak syarikat utiliti dari semasa ke semasa, bukan hanya di Jalan Masjid India, malahan meliputi seluruh bandar Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan warga Kuala Lumpur.

“Peruntukan RM10 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada DBKL untuk tahun 2025 akan digunakan untuk melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian yang sama daripada berulang,” katanya.

Maimunah turut menyuarakan tekad DBKL dengan pembukaan semula Jalan Masjid India, untuk terus menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat, mampan, dan selesa untuk didiami.

Beliau meminta orang ramai yang mendapati ada tanda-tanda mendapan di rizab jalan awam atau wujudnya lubang benam supaya membuat aduan melalui portal Adu@kl atau menghubungi talian skuad penyelamat di talian 03-40106337.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top