Industri automotif berubah

Industri automotif berubah

Kuala Lumpur: Industri automotif Asia Tenggara mengalami transformasi besar tahun ini, didorong oleh peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV), kebangkitan pembuat kereta China, dan pilihan pengguna berubah, menurut platform e-dagang kereta bersepadu, Carsome.

Ketua Pegawai Perniagaan Carsome, Aaron Kee berkata, perkembangan itu menyerlahkan peranan rantau ini yang semakin meningkat dalam landskap automotif global kerana rantau ini mengimbangi inovasi global dengan strategi tempatan.

Beliau dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, lima trend automotif utama yang membentuk pasaran di Asia Tenggara, tahun ini.

Mengenai pecutan penggunaan EV di rantau ini, Kee memberitahu negara seperti Malaysia mengalu-alukan penyertaan berprofil tinggi seperti Tesla, memperkenalkan modelnya bersama rancangan untuk mengembangkan infrastruktur pengecasan EV.

Bagaimanapun, penggunaan EV di rantau ini terjejas oleh cabaran dari segi kemampuan dengan kerajaan mengimbangi penyertaan asing dan dasar untuk menyokong pembuat kereta tempatan.

“Sebagai contoh, mekanisme harga lantai di beberapa pasaran diperkenalkan untuk memberi masa kepada penggiat domestik untuk meningkatkan pengeluaran EV,” katanya.

Kee turut menyifatkan 2024 sebagai tahun kejayaan untuk pembuat kereta China di Asia Tenggara, jenama seperti BYD, Chery dan Wuling berjaya menjenamakan semula dan memperoleh daya tarikan pasaran melalui harga yang kompetitif, ciri moden dan sokongan selepas jualan yang kukuh.

Menurut data daripada Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM), China menjual sebanyak 3.316 juta kenderaan pada November 2024, peningkatan 11.7 peratus tahun ke tahun.

Dari Januari hingga November, eksport kereta mencapai 5.345 juta unit, melonjak 21.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Trend ketiga ialah faktor kemampuan untuk membeli kenderaan kekal sebagai penggerak.Dua trend terakhir ialah transformasi digital jualan automotif dan penerimaan terhadap kemampanan.

“Model hibrid mendapat populariti di Indonesia, Thailand dan Malaysia, ia dilihat sebagai alternatif praktikal kepada pilihan EV sepenuhnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top