Terbitan buku sejarah, tokoh dedah golongan muda bacaan berkualiti

Terbitan buku sejarah, tokoh dedah golongan muda bacaan berkualiti

KUANTAN: Penerbitan buku berkaitan sejarah dan perjuangan tokoh terkenal antara usaha yang dapat mendekatkan golongan muda kepada bahan bacaan lebih baik.

Pengerusi Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, penerbitan buku mengenai konflik di negara jiran juga dialu-alukan.

“Proses meningkatkan minat golongan muda dengan bahan bacaaan berkualiti mengambil masa dan perlu dilakukan secara konsisten. Ini adalah usaha yang perlu dibuat secara berterusan dan kita kena akui bahawa golongan muda hari ini kurang berminat untuk membaca buku seumpama itu. 

“Tetapi, saya percaya ia boleh ditambah baik dan Kerajaan Pahang juga secara tahunan menganjurkan pesta buku bagi menyediakan bacaan yang sesuai untuk mereka,” katanya selepas melancarkan buku ‘Senandika Selatan Thai : Luka Sembuh, Parut Tetap Ada’ di menara Kuantan 188, di sini hasil tulisan Dr. Azlinariah Abdullah. 

Sabariah berkata, bahan bacaan dihasilkan Azlinariah adalah satu perkongsian menarik berkaitan konflik di Selatan Thailand dan ditulis dengan gaya bahasa yang mudah untuk difahami. 

Sementara itu, Azlinariah yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia berkata, buku berkenaan ditulis bagi memperbetul persepsi masyarakat mengenai apa yang berlaku di Selatan Thailand. 

“Ia adalah perkongsian saya selepas 10 tahun melakukan kajian dan berulang-alik ke sana bagi bertemu dan mendengar cerita daripada pelbagai pihak. 

“Adalah menjadi harapan agar melalui buku ini, kita dapat memahami isu yang timbul dan seterusnya menilai kepentingan wilayah Selatan Thailand dan hubungannya dengan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top