Elica tak mengalah

Elica tak mengalah

am@hmetro.com.my

BARANGKALI nama penyanyi berbakat besar, Elica Paujin, 25, tidak sepopular bintang yang dicungkil dari program realiti TV lain.

Namun, penyanyi kelahiran Tambunan, Sabah tidak pernah mengalah untuk terus menempatkan nama duduk sebaris dengan barisan artis hebat tanah air.

Secara peribadi, Elica yang juga juara program realiti Big Stage musim keempat (2022) bersyukur kerana masih ramai peminat yang menerima dan menyokong kehadirannya sejak berkecimpung dalam bidang seni tujuh tahun lalu.

“Walaupun nama saya tidak sehebat artis lain, tapi saya sangat bersyukur dengan pencapaian dalam bidang nyanyian ketika ini.

“Saya juga akan terus fokus dan bekerja keras serta terus berkarya,” katanya.

Mengulas namanya yang kurang menyerlah berbanding penyanyi popular, Aisha Retno yang juga pemenang tempat ketiga program Big Stage pula, kata Elica, itu semua terletak pada rezeki masing-masing.

“Saya sangat menghormati semua artis lain dan saya percaya setiap orang membawa warna tersendiri dalam industri seni tanah air.

“Aisha mempunyai kelebihan tersendiri, begitu juga saya dan setiap artis mempunyai perjalanan yang unik,” katanya yang pernah menyertai program Mentor Milenia 2017 dan Stariser: Mencari Bintang Nusantara.

Berkongsi perancangan karier seninya pada tahun baru 2025 pula, kata penyanyi yang popular dengan lagu Oh Huminodun ini, pastinya lebih banyak lagi karya baharu akan dihasilkan untuk peminat nanti.

“Saya harap dapat teroka lebih banyak perkara baharu dan semoga peminat akan terus terus beri sokongan. Mungkin nama saya lebih dikenali di Sabah, tetapi saya juga percaya ada ramai peminat di luar Sabah.

“Saya juga pernah buat konsert berskala besar di Sabah, tapi saya tidak mahu tergesa-gesa sebab masih banyak perkara yang perlu belajar. Kalau ada rezeki dan masa sesuai, saya juga ingin memberi pengalaman istimewa untuk peminat di luar Sabah melalui konsert solo nanti,” katanya yang turut meraih pengiktirafan ‘Rising Star Of The Year’ sempena Sabah Top Achievers 2024.

Sambut Krismas bersama keluarga di Tambunan

Sempena sambutan Krismas pula, kata Elica, s

ama seperti tahun sebelumnya, dia meraikannya bersama keluarga di kampung halamannya di Tambunan, Sabah.

“Saya masih menyambut Krismas seperti biasa dan tiada perubahan pun selepas bergelar selebriti. Menyambut Krismas bersama ibu bapa adalah hadiah tidak ternilai dan tidak dapat digantikan dengan yang lain.

“Sambutan Krismas cukup istimewa kerana kita dapat berkumpul bersama ahli keluarga yang jauh dan jarang jumpa.

“Aktiviti yang dilakukan selalunya, saya dan ahli keluarga akan pergi sembahyang dulu dan selepas itu baru berkunjung ke rumah ahli keluarga dan rakan,” katanya yang hanya bercuti selama dua hari sebelum kembali bekerja sehingga tahun hadapan.

Mengenai juadah pula, kata penyanyi keturunan Dusun ini, antara menu istimewa yang disediakan ketika sambutan Krismas ialah tuhau atau hinava.

“Tuhau ini sejenis makanan tradisi di Sabah yang dimasak dengan lada putih dan ia juga boleh dibuat jeruk. Selain itu, ada juga kuih tat nanas dan kek sebagai pencuci mulut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top