ALOR SETAR: Proses undang-undang perlu dijalankan dengan telus, adil dan berlandaskan bukti sahih bagi memastikan tiada ruang untuk penyalahgunaan kuasa yang boleh merosakkan integriti serta kewibawaan sistem perundangan negara.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, institusi perundangan yang bebas dan adil juga harus dipertahan dengan penuh integriti agar ia tidak menjadi alat atau senjata pihak-pihak tertentu dalam mencapai tujuan politik.
Beliau berkata, pihaknya terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri tentang pendakwaan-pendakwaan dalam kes berprofil tinggi sebelum ini yang disifatkan sebagai lemah, bermotif politik dan berunsur dendam.
“Kenyataan ini memberi kesan mendalam terhadap isu kepercayaan rakyat mengenai sistem perundangan negara. Tindakan segera wajar diambil untuk membaiki dan mengukuhkan keyakinan terhadap sistem perundangan negara.
“Peguam Negara patut menilai semula pendakwaan yang telah dilakukan dan mengambil tindakan segera untuk memperbetul ‘bencana’ kepercayaan yang kini berlaku,” katanya di sini, hari ini.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.
Perdana Menteri berkata, ia adalah kerana tindakan itu didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik oleh mereka yang berkuasa.
Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah yakin institusi perundangan negara akan terus menjadi benteng terakhir rakyat dalam menuntut keadilan dan perlindungan daripada sebarang ancaman dengan pemerkasaan dan penambahbaikan yang sewajarnya.
Tambahnya, Peguam Negara turut dituntut memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan setiap proses undang-undang dijalankan secara objektif dan profesional, tanpa dipengaruhi kepentingan politik mana-mana pihak.
“Oleh itu, kami menggesa agar setiap usaha diambil untuk memastikan sistem kehakiman negara bebas daripada sebarang campur tangan politik yang boleh merosakkan kredibilitinya.
“UMNO Kedah juga mencadangkan agar beberapa tribunal dan suruhanjaya yang ada diperkasa dan ditambah baik untuk meningkatkan tahap semak dan imbang, yang kini dilihat terhakis akibat campur tangan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN