Gelagat anak Misha Omar tarik perhatian

Gelagat anak Misha Omar tarik perhatian

najiy.jefri@hmetro.com.my

 

Petaling Jaya : Gelagat comel anak kepada penyanyi, Misha Omar iaitu Muhammad Idris Ezzwa mencuri perhatian ramai apabila tampil sebagai pengacara untuk Misha Omar Back To Basic Showcase yang berlangsung di Jiospace, di sini.

Aksi spontan kanak-kanak berusia lapan tahun itu berjaya mencuit hati kira-kira 2,000 penonton yang hadir menyaksikan persembahan istimewa Misha ketika dia memperkenalkan ibunya kepada umum.

Malah, momen yang dirakam peminat dan media itu turut tular di media sosial sehingga kini. 

Menariknya lagi, tatkala Misha memasuki ruang pentas, peminat yang hadir begitu teruja dan seolah-olah merindui suara emas yang dimiliki penyanyi berusia 42 tahun itu.

Lebih indah, sepanjang dua jam konsert berlangsung peminat tetap setia menemani dan ikut menyanyi bersama.

Pada persembahan itu, Misha membuat kejutan apabila menyanyikan beberapa lagu hits penyanyi luar negara dan tempatan.

Paling mencuri perhatian adalah ketika menyanyikan laguOops! I Did It Again serta Bye Bye Bye nyanyian asal Britney Spears dan NSYNC secara ‘mashup’.

Misha berkata, dia hanya menghadiri tiga kelas tarian dalam tempoh singkat sebagai persediaan mengikut menari lagu itu selain aksi lincah ketika  menyampaikan lagu Dolla, Watch Me Glow.

“Tidak dinafikan saya penyanyi paling malas bergerak. Saya belajar menari hanya tiga kelas dan setiap sesi 40 minit disebabkan kesibukan saya.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk ‘si ketam tua jalan kiri kanan depan belakang’. Memang sukar pada mulanya tapi saya suka.

“Orang pun tak tahu mereka berusia 40-an juga sukakan Dolla. Lirik lagu mereka bagus sekali, sangat memberi inspirasi. Jadi, saya cubalah,” katanya pada sidang media selepas showcase.

Misha yang hadir mengenakan busana bewarna merah dan hitam membuka pentas dengan lagi Cinta Adam dan Hawa,Sembunyi, Dedebu Cinta sehingga pentas ditutup bersama Semoga Abadi.

Selain itu, Misha turut menghadiahkqn peminat dengan laguTiada Ruang Untukmu,Tiada Aku Mengerti, Pulangkan, Ku Seru,Masihkah Ada Rasa itu, Bunga-Bunga Cinta, Sampai Bila selain lagu popular penyanyi Indonesia iaitu Badai Telah Berlalu, Sialan serta Kupu-Kupu.

Pada persembahan itu juga, Misha memberi penghargaan kepada penyanyi muda berbakat apabila tampil menyanyikan lagu mereka dengan baik.

Antaranya  Masing-Masing (Ernie Zakri), Peluang Kedua(Nabila Razali) dan Semalam (Aina Abdul).

Lebih indah, kelibat beberapa selebriti tanah air hadir bagi memberi sokongan seperti  Ella, Aina Abdul, Ernie Zakri, Syamel, Shila Amzah serta Nabila Razali. 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top