am@hmetro.com.my
Pasir Salak: Anggota polis yang dihanyutkan arus deras semasa mandi di tali air di Changkat Lada, Kampung Gajah, di sini, semalam ditemukan lemas, hari ini.
Koperal Muhammad Taufik Sayuti, 39, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebelum ini dikatakan keletihan dan cuba ke tebing, bagaimanapun dihanyutkan arus deras.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa dijumpai di kawasan tebing kira-kira tiga meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada 4.55 pagi tadi.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Semalam, Sabarodzi dilaporkan berkata, seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah dan BBP Teluk Intan dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.47 petang.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa menghadiri majlis pertemuan ‘reunion’ bersama rakan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changkat Lada.
© New Straits Times Press (M) Bhd