Sukar tolak ajakan Jobranko

Sukar tolak ajakan Jobranko

norhayati_nordin@hmetro.com.my

PADA usia 70 tahun ketika ini, Nasir Jani boleh dikatakan sudah lebih empat dekad membina kerjaya seninya yang masih ‘mekar’ selaku penulis lirik dan pengarah filem.

Bagi Nasir, selagi nyawa masih dikandung badan sudah semestinya dia mahu kekal setia mencurah segala keringatnya untuk industri hiburan tanah air.

Namun, seiring peredaran zaman yang berlaku, Nasir mengakui dia terpaksa ‘angkat kaki’ dalam penulisan lirik lagu kerana berasa tiada keperluan untuk dirinya berkarya.

“Sekarang ini saya dapati dalam penulisan lirik lagu, ia didominasi oleh penggiat muzik moden. Malah, saya juga tengok tiada isu masyarakat yang sesuai untuk diangkat ke dalam lagu.

“Bagaimanapun, baru-baru ini saya ada bekerjasama dengan kumpulan Barbarik untuk lagu mereka berjudul Peluru Cokelat sebagai memenuhi permintaan pemain gitarnya, JoBranko kerana kami berkawan baik.

“Jadi, saya kembalilah mencurahkan semula idea dalam menulis lirik selepas sekian lama merehatkan diri. Lagipun, saya sedia muncul sebab lagu Peluru Cokelat itu menjurus kisah anak-anak Gaza, Palestin,” katanya.

Menurut Nasir, kalau diikutkan hatinya dia sudah malas hendak tulis lirik. Namun, atas nama ikatan persahabatan diakui sukar untuknya menolak ajakan JoBranko untuk bekerjasama.

“Selepas diperdengarkan melodi lagu Peluru Cokelat itu, saya fikir mengapa tidak menuliskan liriknya sebab saya menggambarkan situasi kanak-kanak di Palestin yang menjadi mangsa perang.

“Hari-hari mereka (kanak-kanak Palestin) berdepan serangan peluru yang banyak dan saya umpamakan peluru itu seperti cokelat. Sebab, kanak-kanak dan cokelat pun amat sinonim.

“Tapi, kenapa saya berhenti menulis lirik sebelum ini sebab tiada isu yang dekat dengan masyarakat untuk memberi kesedaran melalui lagu. Ini kerana, kebanyakan lirik sekarang bersifat peribadi,” katanya.

Menurut Nasir, dia tidak menyalahkan pengkarya lagu berkenaan kerana setiap orang ada idea tersendiri dan penggiat seni lain perlu menghormatinya kerana selera pendengar juga pelbagai.

Berbicara mengenai elemen yang perlu ada dalam penulisan lirik, Nasir memaklumkan pencernaan idea perlu sesuai dengan keadaan semasa untuk lirik itu melekat pada pendengar.

“Sebenarnya, lirik boleh melekat dalam hati pendengar jika sesuai dengan keadaan sekeliling. Kalau suasana kelam-kabut, maka jadilah ilham lirik yang ditulis itu tidak bagus. Jadi, persekitaran juga mempengaruhi.

“Antara lirik lagu dulu dengan sekarang tetap sama. Namun, penceritaan kisah itu mestilah kena dengan keadaan sesuatu masa. Cuma, untuk keadaan sekarang saya lihat ‘lost’ (tiada arah).

“Jadi, sebab itu ada sebahagian daripada lirik lagu masa kini kurang berkesan. Bagaimanapun, saya tidak kata perkara sebegitu salah yang dilakukan oleh penulis lirik sekarang,” katanya.

Nasir mula menulis lirik sejak 1988 untuk kumpulan rock dan penyanyi popular seperti Wings, Bloodshed, Rahim Maarof dan Kris.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top