Pelawak dan usahawan Shuib mengakui perniagaannya terkesan susulan kecaman netizen selepas berdepan tuduhan gagal membayar cukai berjumlah RM1.6 juta.
Memetik Majoriti, Shuib bagaimanapun berkata ia tidak mematahkan semangatnya untuk mengembangkan lagi jenama Bubblebee ke luar negara.
“Insya-ALLAH kita akan kembangkan perniagaan ke Borneo, Sabah dan Sarawak. Pada pertengahan bulan Januari lepas, kita dah buka francais pertama kita di Miri, itu perkembangan yang baik untuk Bubblebee.
“Saya tengah rancang untuk ke Brunei, Singapura, Makkah dan Madinah sebenarnya, insya-ALLAH. Jadi berbalik kepada tohmahan orang ramai, lebih baik sokong produk kita,” katanya.
Sementara itu, Shuib turut meminta orang ramai menghentikan kecaman terhadap keluarga serta perniagaannya kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan periuk nasi mereka yang bekerja di syarikatnya.
“Ini masanya anda kena sokong, hentikan tohmahan yang tak berasas yang bukan mendatangkan kebaikan kepada saya dan Bubblebee.
“Dulu kita pernah ada sehingga 700 staf tapi sekarang dalam 100 sahaja, maksudnya ada dalam ratusan staf cari makan di bawah syarikat ini, jadi kalau masih lagi difitnah macam mana pula dengan nasib mereka,” katanya.
SUMBER: Majoriti