PENGGANTI Tan Bin Shen sebagai jurulatih beregu lelaki negara perlu memiliki “sentuhan magis” untuk membantu Malaysia memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28), kata legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek.
Razif berkata, kini masa yang sangat penting untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mencari jurulatih yang boleh menandingi, malah mengatasi bekas jurulatih berpengalaman itu.
“Kita perlu berterima kasih kepada Bin Shen kerana telah menunjukkan prestasi yang baik termasuk membantu pemain-pemain kita lebih menonjol dari segi ranking dunia.
“Kini BAM tiada pilihan selain mencari jurulatih yang lebih baik, tak kira dari negara mana. Sesiapa yang mengambil tugas ini adalah penting kerana matlamat utama kita tidak boleh lari daripada sasaran memburu emas sulung pada Sukan Olimpik 2028,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Ahad.
Jumaat lepas, BAM mengumumkan Bin Shen akan meletakkan jawatan 13 Januari ini selepas menyertai badan induk itu pada Disember 2020.
Bekas pemain kebangsaan itu memainkan peranan penting dalam meningkatkan standard beberapa pasangan beregu lelaki negara, termasuk membantu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik merangkul gelaran dunia pertama Malaysia pada 2022.
Jurulatih berusia 40 tahun itu dilaporkan akan berkhidmat dengan pasukan kebangsaan Hong Kong di bawah bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Wong Choong Hann bermula Februari depan, bersama dua lagi jurulatih Malaysia iaitu Jeremy Gan dan Loh Wei Sheng.
Sementara itu, Razif yang enggan mengulas mengenai calon pilihannya untuk jurulatih beregu lelaki negara, menekankan kepentingan membina kepercayaan antara jurulatih baharu, pemain dan pengurusan BAM.
“Terpulang kepada BAM sama ada mahu pilih Herry Iman Pierngadi, Mathias Boe atau Hendra Setiawan sekali pun, yang penting perlu selari dengan pengurusan dan pemain-pemain. Bila sudah timbul kepercayaan, pemain juga harus sesuaikan dengan sistem latihan dan aspek komunikasi (jurulatih baharu),” katanya.
Herry atau lebih dikenali sebagai Herry IP, baru-baru ini mengumumkan akan meninggalkan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI).
Jurulatih berusia 62 tahun yang berkhidmat di Indonesia selama 25 tahun itu telah melahirkan beberapa beregu bertaraf dunia termasuk juara Olimpik Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Markis Kido.
Boe, yang kini terikat dengan pasukan India merupakan individu penting di sebalik kejayaan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, yang kini merupakan antara beregu lelaki terbaik dunia.
Sementara Setiawan yang membentuk gandingan hebat dengan Mohammad Ahsan, mengumumkan bahawa beliau akan menggantung raket selepas Indonesia Masters, bulan depan.
Sementara itu, bekas pemain beregu lelaki negara, Koo Kien Keat menyifatkan pemergian jurulatih tempatan ke luar negara sebagai ‘agak lucu’.
Pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 itu berkata, beliau ‘keliru’ dengan tindakan BAM yang seolah-olah lebih mengutamakan jurulatih asing berbanding mempertimbangkan untuk melantik legenda-legenda badminton tempatan bagi ‘menjaga’ pasukan kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Berdasarkan sistem kejurulatihan semasa, hanya Rosman Razak yang mengetuai bahagian beregu wanita merupakan jurulatih tempatan manakala bahagian lain dipimpin jurulatih asing seperti Kenneth Jonassen dari Denmark bagi bahagian perseorangan dan Nova Widianto dari Indonesia (beregu campuran).
Antara jurulatih dari Malaysia yang kini berkhidmat dengan pasukan luar negara termasuk Lee Wan Wah di Jepun, Wong Pei Tty di Singapura dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin di Ireland. – Bernama