sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Bina Badan Kuala Lumpur, K Krishnakumar akan mengambil tindakan undang-undang saman malu ke atas Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) selepas dirinya dikenakan hukuman penggantungan sebelum ini.
Jelasnya, beliau menegaskan dirinya tidak bersalah dan perkara itu benar apabila Pesuruhjaya Sukan Malaysia mengesahkan bahawa penggantungan dua tahun yang dikenakan terhadapnya adalah tidak sah.
Susulan itu, PBBM diarah untuk menghantar surat pembatalan terhadap penggantungan yang tidak sah itu, yang berkuat kuasa sejak 27 Julai lalu.
“Ini adalah satu kezaliman yang perlu diperbetulkan. Saya tidak akan berdiam diri. Saya akan terus berjuang untuk menegakkan kebenaran dan hak saya.
“Saya memberi tempoh tujuh hari untuk mereka memberi maklum balas perkara ini jika tidak saya akan mengambil tindakan undang-undang.
“Keputusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia ini memberikan harapan kepada saya untuk terus berjuang demi membersihkan nama dan mengembalikan maruah yang tercemar,” katanya.
Selain itu, Krishnakumar mendedahkan punca penggantungan terbabit berlaku selepas beliau mengemukakan beberapa persoalan dan kebimbangan ketika Mesyuarat Agung Tahunan PBBM lima bulan yang lalu.
Antara perkara yang dibangkitkan adalah isu pengurusan serta pentadbiran badan induk berkenaan, yang dikatakan tidak diselesaikan dengan telus.
Perkara itu juga membuktikan Krishnakumar berada di pihak benar dan selama ini merasakan dirinya diperlakukan tidak adil oleh PBBM.
Justeru, beliau juga berharap agar badan sukan lain dapat mengambil pengajaran daripada kejadian berkenaan untuk memastikan proses pengurusan yang lebih telus dan adil di masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd