Israel dapat tanah

Israel dapat tanah

Pemerintahan Baath di Syria selama 61 tahun tumbang pada 8 Disember lalu, apabila Damsyik jatuh daripada kawalan tentera kerajaan kepada kumpulan pemberontak diketuai Hayat Tahrir al-Sham (HTS), lapor Bernama yang memetik Agensi Anadolu.

Presiden Bashar al-Assad kini berada di Moscow bersama keluarganya selepas Rusia memberi mereka dengan suaka atas alasan kemanusiaan, sumber Kremlin memberitahu agensi berita Rusia.

Perjanjian ini dilakukan untuk memastikan keselamatan pangkalan tentera Rusia di Syria.

Namun, Israel sejak itu pula dilaporkan melancarkan lebih 400 serangan di Syria. Selain itu, ia melancarkan pencerobohan tentera ke zon penampan yang memisahkan kedua-dua negara sejak 1974.

Kenapa Israel kini menyerang Syria?

Al Jazeera melaporkan, Israel mendakwa ia cuba untuk menghentikan senjata daripada jatuh ke tangan ‘ekstremis’, definisi yang digunakan untuk senarai pihak-pihak yang bertukar, dengan terbaharu merujuk kepada HTS.

Di mana lokasi serangan?

Menurut Al Jazeera, serangan Israel baru-baru ini menyasarkan kemudahan ketenteraan, termasuk gudang senjata, depoh peluru, lapangan terbang, pangkalan tentera laut dan pusat penyelidikan.

Israel juga mengerahkan unit tentera ke zon penampan di sepanjang Bukit Golan yang memisahkan Syria dan Israel. Kawasan itu ditetapkan secara rasmi sebagai zon demilitarisasi, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata 1974.

Israel menduduki kira-kira dua pertiga daripada Bukit Golan, dengan zon penampan yang ditadbir Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkumi kawasan sempit, manakala bakinya dikawal oleh Syria.

Pasukan keselamatan Syria juga melaporkan kereta kebal Israel dari Bukit Golan ke Qatar, 10 km ke dalam wilayah Syria dan dekat dengan ibu negara.

Sumber tentera Israel menafikan sebarang pencerobohan sedemikian, lapor Al Jazeera.

Sebagai tambahan kepada lebih daripada 100 serangan di ibu negara, portal sama melaporkan Israel melakukan serangan di Al Mayadin di timur, Tartous dan Masyaf di barat laut, di persimpangan Qusayr dengan Lubnan, dan lapangan terbang tentera Khalkhalah di selatan.

Apa justifikasi Israel?

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan AFP sebagai berkata, kejatuhan kerajaan Bashar membatalkan perjanjian gencatan senjata antara negaranya dan Syria, pada 1974.

Justeru, beliau mengumumkan, Bukit Golan yang diduduki mereka selama hampir 60 tahun, akan kekal sebagai sebahagian daripada Israel.

AFP turut melaporkan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, tenteranya mempunyai arahan untuk mewujudkan ‘zon pertahanan steril yang bebas daripada senjata dan ancaman pengganas di selatan Syria.’

Kebimbangan jangka pendek utama bagi Israel, kata Aviv Oreg, seorang penganalisis di Pusat Meir Amit dan bekas pegawai perisikan tentera, ialah sebarang baki stok senjata kimia dan strategik lain.

“Jika senjata sedemikian jatuh ke tangan mereka (pemberontak), siapa tahu apa yang akan mereka lakukan dengan (senjata berkenaan),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top