Pertandingan Bercerita TaHa Cilik cungkil bakat, galakan buka akaun TH

Pertandingan Bercerita TaHa Cilik cungkil bakat, galakan buka akaun TH

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Kelab TaHa buat julung kalinya mengadakan pertandingan Bercerita TaHa Cilik bagi mencungkil bakat seni penceritaan kanak-kanak.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, pertandingan yang dimulakan pada Jun lalu itu mendapat sambutan hangat terutama menerusi platform media sosial.

Katanya, pertandingan itu menerima penyertaan kanak-kanak ahli kelab TaHa seluruh negara bermula dari umur tujuh sehingga 12 tahun.

“Penganjuran pertandingan bercerita yang julung kali diadakan ini telah berjaya membantu anak-anak meningkatkan kemahiran bahasa dan komunikasi, mengasah daya imaginasi dan kreativiti serta membina keyakinan diri untuk bercakap di hadapan orang ramai.

“TH melalui Kelab TaHa sentiasa komited untuk menganjurkan program dan aktiviti yang dapat memberi manfaat berterusan kepada ahli-ahlinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertandingan Bercerita TaHa Cilik dianjurkan bertujuan memupuk minat kanak-kanak dalam merungkai kisah-kisah para anbiya.

Ia berterusan melalui beberapa peringkat sebelum 10 peserta terbaik dipilih menyertai pusingan terakhir untuk menyampaikan persembahan bertemakan ‘Sirah Nabi’.

Tambah Mohamed Ameen, pertandingan tersebut merupakan satu inisiatif menggalakkan lebih ramai ibu bapa untuk membuka akaun bersama TH seterusnya mendapat keahlian Kelab TaHa secara automatik.

Dalam pada itu, juara pertandingan, Zufar Nabih Mohd Fadizan, 12, berkata, kemenangan itu merupakan rezeki penyertaan pertamanya dalam kategori bercerita.

Katanya, usaha dengan latihan sebanyak tiga kali sehari itu akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh wang tunai RM1,000 selain pakej percutian dan cenderahati eksklusif.

“Saya sangat gembira dan bersyukur atas kemenangan ini. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada ibu bapa saya yang menjadi penasihat dan jurulatih utama yang sentiasa melatih saya tanpa jemu.

“Terima kasih juga kepada guru-guru yang sentiasa menyokong dan pihak TH kerana menganjurkan pertandingan ini untuk kami kembangkan bakat bercerita,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top