Vicente yakin aksi ‘hidup mati’ berdepan Singapura dengan sokongan padu peminat

Vicente yakin aksi ‘hidup mati’ berdepan Singapura dengan sokongan padu peminat

MALAYSIA wajib mencatat kemenangan ke atas seteru tradisi Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan A untuk mara ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), di sini malam esok.

Kemenangan dengan margin gol yang besar mampu meningkatkan lagi peluang Harimau Malaya untuk mara ke peringkat kalah mati dengan syarat Kemboja mencipta kejutan menewaskan Thailand di Bangkok dalam perlawanan kumpulan yang berlangsung serentak.

Sokongan padu penyokong setia yang bakal membanjiri SNBJ dilihat sebagai kelebihan utama buat pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, yang mahu mengulangi kejayaan edisi 2022 apabila Malaysia menewaskan Singapura 4-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk layak ke separuh akhir.

Bagaimanapun, Vicente yang bakal meninggalkan skuad kebangsaan selepas kempen kali ini mengambil pendekatan berhati-hati apabila menegaskan bahawa Singapura mempunyai kelebihan menjelang pertemuan ini.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, sengit dan tidak mudah untuk kita menang dengan margin besar. Apa yang penting adalah mendapatkan kemenangan. Singapura mempunyai kelebihan dengan dua mata lebih banyak berbanding kita dan hanya memerlukan satu mata untuk layak,” kata jurulatih berusia 41 tahun itu dalam sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Vicente, yang sebelum ini pernah menjadi penolong jurulatih di bawah kendalian Kim Pan Gon ketika Malaysia menewaskan Singapura 4-1 dalam edisi 2022, mengakui rekod tersebut memberinya keyakinan untuk perlawanan penting itu.

Namun begitu, beliau menekankan faktor paling utama adalah kehadiran penyokong yang diharap dapat memenuhi stadium untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan.

“Rekod lalu memberi sedikit keyakinan, tetapi saya lebih yakin dengan prestasi terkini pasukan ini dan barisan pemain yang kita miliki. Saya harap penyokong akan hadir beramai-ramai kerana sokongan mereka akan memberi kelebihan tambahan buat kami,” katanya.

Sementara itu, kapten Harimau Malaya, Dominic Tan, mengakui kepentingan perlawanan malam esok dan keperluan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia.

“Tidak banyak yang perlu diperkatakan tentang kepentingan perlawanan ini. Kita beraksi di gelanggang sendiri, ia adalah perlawanan penentuan untuk kita dan juga mereka. Apa yang penting, kita perlu percaya pada kemampuan sendiri dan mendapatkan keputusan positif esok,” kata pemain Sabah FC berusia 27 tahun itu.

Ketika ini, Malaysia berada di kedudukan keempat dengan empat mata, berkongsi mata dengan Kemboja yang berada di tangga ketiga.

Singapura pula di tempat kedua dengan enam mata, manakala juara bertahan Thailand telah pun mengesahkan kemaraan ke separuh akhir sebagai pendahulu kumpulan dengan sembilan mata.

Untuk rekod, perlawanan esok adalah ulangan pertemuan terakhir Kumpulan B edisi 2022, di mana Malaysia bangkit menewaskan Singapura 4-1 di gelanggang sama untuk layak ke separuh akhir. – Bernama

Scroll to Top