Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Rozita Rohaizat meluahkan perasaan teruja dapat menghiburkan peminat di Singapura sempena acara Jom Menari 2024 di Jurong Green CC jam 7.30 malam pada 28 Disember ini.
Menurut Rozita sekalipun sudah beberapa kali menjayakan persembahan di negara republik itu, dia tetap gementar menantikan sambutan pada acara itu.
Katanya, dia akan menampilkan persembahan terbaik buat peminat terutama penggemar lagu klasik dan nostalgia.
“Sebenar saya sudah beberapa kali menjayakan persembahan di sana. Untuk acara ini saya akan bersedia dengan lima lagu keutamaannya lagu Puan Sri Saloma dan lagu saya sendiri seperti Joget Malam Pertama serta Jangan Jangan Mengata.
“Oleh kerana ia berkonsepkan ‘dance’ (menari) sudah pasti sebagai penghibur saya juga seronok dapat menjayakan acara itu yang bakal dihadiri tetamu istimewa iaitu Penasihat Jurong GRC GROs (Jurong Central) Xie Yao Quan,” katanya.
Tambah Rozita atau pemilik nama sebenar Sharifah @ Siti Roswita Hamid itu, acara berkenaan membuka peluang buatnya mempromosikan lagu barunya.
Malah dia berharap lagu berkenaan akan mendapat tempat di hati peminat muzik.
“Muzik video single terbaru Bila Ku Merindu dengan rentak bossanova dan sedikit twist yang dilancarkan September lalu mendapat maklum balas baik daripada peminat.
“Sebenarnya ia di inspirasi oleh lagu Bila Larut Malam dan sebagai tribute untuk ‘untie’ (Saloma) saya,” ujar puteri kepada Allahyarham Seniwati Mariani Ismail dan H.M. Rohaizad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd