Didakwa sengaja menjaja aib ahli keluarga sendiri, pelawak Sharif Zero mohon maaf kepada adiknya, Atu Zero selepas berkongsi masa silam saudaranya itu dalam satu podcast baru-baru ini.
Memetik laporan HibGlam, Sharif atau nama penuhnya Sharif Kadir Doli Sharif berkata perkongsiannya berkenaan pengalaman hidup Atu bukannya untuk mengaibkan sesiapa namun mahu memberi inspirasi kepada orang ramai.
Sharif Zero mohon maaf kepada Atu
“Tindakan saya bercerita tentang perkara itu adalah dengan niat mahu beri inspirasi kepada orang lain.
“Jika Atu rasa perkongsian itu membuka aibnya, saya memohon maaf. Dia berhak bersuara dan saya tidak salahkannya.
“Apa pun, saya bangga dengan dirinya yang sekarang. Dia sudah berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, pelawak berusia 34 tahun itu menegaskan mereka tidak bermasam muka dan hubungan mereka tetap baik, malah mengakui Atu masih menghubunginya seperti biasa.
“Sebelum ini kami pernah berada dalam satu podcast bersama, tiada apa-apa isu pun, malah kami saling bergurau. Cuma mungkin podcast kali ini saya seorang dan Atu tiada di situ.
“Cerita yang saya kongsikan pun berasal daripada Atu sendiri, tidaklah sampai hati mahu burukkan adik sendiri,” jelasnya lagi.
Artikel lain: Masih terasa dengan sindiran, Isteri Atu Zero pula minta maaf kepada Nabila Razali
Sebelum ini, Sharif mendedahkan dalam sebuah podcast bahawa Atu pernah melarikan diri dari kampung halaman mereka di Sabah dan berhijrah ke Kuala Lumpur.
Didakwa buka aib Atu, Sharif Zero mohon maaf
Menurutnya, Atu terpaksa menjalani kehidupan gelandangan kerana ketiadaan wang disamping turut mendedahkan adiknya itu nyaris terjerumus dengan gejala dadah akibat salah memilih rakan.
Sementara itu, Atu telah memberikan respon terhadap perkongsian abangnya itu dan berkata dia tidak marah mahupun terasa namun berharap Sharif tidak mengulangi perkara itu lagi.
Sumber: HibGlam (Nur Muhammad Haikal Ramli)