Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian yang berlaku di pantai.
JAKARTA – Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian yang berlaku di Pantai Sindangkerta, Kecamatan Cipatujah, Tasikmalaya, Jawa Barat pada Ahad.
Media melaporkan, insiden lemas berlaku selepas kanak-kanak itu ditinggalkan bersendirian, selepas ibunya leka mengambil gambar kawasan sekitar pantai bersama mak cik mangsa.
Pegawai Polis Tasikmalaya, Bripka Triana Anggasari yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian meskipun cuba diselamatkan.
“Dia sempat dikejarkan ke Klinik HS Putra Medika dengan ambulans, tetapi dia sudah meninggal dunia sebelum itu (di lokasi kejadian),” katanya kepada wartawan pada Isnin.
Susulan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau anak-anak mereka semasa berada di pantai.
“Jangan biarkan anak anda bermain sendirian tanpa pengawasan orang dewasa di pantai,” katanya.
Pantai Sindangkerta merupakan kawasan berbatu karang serta curam yang berisiko.
Difahamkan mangsa terjun ke dalam laut sebelum kepalanya terkena batu karang hingga luka sebelum lemas. -Agensi