Polis kesan taktik menipu menyamar sebagai wakil agensi kerajaan

Polis kesan taktik menipu menyamar sebagai wakil agensi kerajaan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Polis mengesan satu taktik baharu penipuan membabitkan individu menyamar wakil agensi kerajaan untuk memperdaya pemilik perniagaan berhubung sebut harga pembekalan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Loi Yew Lik berkata, melalui modus operandi terbaru itu, suspek akan memperdaya mangsa dengan cara menawarkan perniagaan melalui satu sebut harga perkhidmatan perniagaan untuk menyediakan pembekalan kepada kerajaan.

Beliau berkata, seterusnya suspek akan melantik mangsa untuk menguruskan perkhidmatan terbabit.

“Dalam masa yang sama, suspek juga akan memaklumkan untuk meneruskan perkhidmatan perniagaan terbabit dan bekalan itu perlu melalui pembekal yang dilantik pihak suspek.

“Mangsa kemudian akan berurusan dengan suspek yang menyediakan bekalan dan seterusnya akan membuat pembayaran untuk bekalan.

“Selepas pembayaran dibuat, barulah mangsa akan menyedari ditipu apabila suspek gagal dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loi berkata, setakat ini, Polis Kedah menerima empat laporan yang membabitkan kes penipuan perkhidmatan perniagaan seperti ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran perkhidmatan dalam talian dengan menyamar sebagai agensi kerajaan.

“Ia salah satu modus operandi untuk menipu orang ramai dengan mudah. Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan terlebih dahulu daripada agensi yang mahu mendapatkan tempahan atau perniagaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top