Israel lulus rancangan rampas Bukit Golan

Israel lulus rancangan rampas Bukit Golan
Israel lulus rancangan rampas Bukit Golan

Kawasan itu didiami kira-kira 30,000 pendatang Yahudi dan 23,000 puak Druze yang kebanyakannya mengekalkan kerakyatan Syria. Foto Agensi

TEL AVIV – Kerajaan ‘ekstremis’ Israel pada Ahad meluluskan rancangan untuk menambah populasi pendatang haram Yahudi di Bukit Golan terletak di barat daya Syria yang diduduki Tel Aviv sejak 1967.

Pengumuman itu dibuat selepas ia mengesahkan kononnya tiada niat untuk berkonfrontasi dengan kerajaan sementara Syria setelah ia menceroboh zon penampan di sempadan negara tersebut selain melancarkan serangan udara bertalu-talu sejak lebih seminggu lalu.

Pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memaklumkan kerajaan memberi lampu hijau terhadap projek pembangunan demografi di Bukit Golan bernilai 40 juta shekel (RM48.8 juta) selepas pemimpin tersebut mengisytiharkan kawasan itu sebagai ‘milik Tel Aviv selama-lamanya’.

Arab Saudi dan Qatar bagaimanapun mengkritik rancangan peluasan penempatan haram Yahudi tersebut.

Kementerian Luar di Riyadh menegaskan ia jelas sebahagian daripada pelan sabotaj terhadap usaha untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan di Damsyik.

Sejak hampir enam dekad lalu, Israel telah menduduki sebahagian besar dataran strategik di Bukit Golan dan mengilhak kawasan itu pada 1981 di bawah langkah yang hanya diiktiraf sekutunya, Amerika Syarikat (AS).

Kawasan itu didiami kira-kira 30,000 pendatang Yahudi dan 23,000 puak Druze yang kebanyakannya mengekalkan kerakyatan Syria.

Dalam perkembangan berkaitan, Israel juga bersedia untuk menempatkan mesingan automatik pada menara peninjau di Tebing Barat kononnya untuk menghalang kemungkinan serangan ke atas penempatan haram Yahudi di wilayah itu.

Radio tentera rejim Zionis menghebahkan tentang rancangan jahat tersebut pada Ahad dan turut memaklumkan Unit Peninjauan ke-636 Divisyen Tentera Darat Tebing Barat akan mengendalikan sistem itu dari jarak jauh.

“Penempatan senjata automatik dibangunkan Rafael Combat Systems itu terlebih dahulu akan dilakukan di lokasi berisiko tinggi sebelum diperluaskan ke kawasan lain,” menurut hebahan itu lagi.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir menerusi platform X memaklumkan lebih 120,000 senjata juga telah diedarkan kepada pendatang Yahudi di bawah pelan untuk mempersenjatai komuniti tersebut yang jelas bertujuan untuk menyasarkan penduduk Palestin.

Rancangan kontroversi itu dilaksanakan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di Ramallah di mana operasi serbuan ganas berterusan dilancarkan sejak Perang Gaza bermula.

Sekurang-kurangnya 812 penduduk Palestin menjadi korban kekejaman Zionis atau pelampau Yahudi sepanjang tempoh 14 bulan lalu manakala lebih 6,450 turut cedera dalam kempen pencerobohan tersebut. – Agensi

Scroll to Top