London: Harry Maguire percaya kemenangan dramatik Manchester United ke atas Manchester City akan memberi dorongan besar kepada keyakinan pasukan itu ketika mereka menyesuaikan diri dengan sistem baharu di bawah kendalian Ruben Amorim.
Josko Gvardiol membuka jaringan untuk City dalam usaha mereka memecah kebuntuan di Etihad pagi tadi.
Namun, kapten United, Bruno Fernandes, menyamakan kedudukan menerusi penalti pada minit ke-88, hasil gerakan cemerlang Amad Diallo.
Diallo bukan sahaja mencetuskan penalti, malah muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.
Kejayaan ini menandakan kemenangan terbesar Amorim sejak mengambil alih tugas daripada Erik ten Hag yang dipecat bulan lalu.
“Musim ini bermula dengan sukar bagi kami, dan tak banyak perkara untuk penyokong kami raikan,” kata Maguire selepas perlawanan.
“Namun, ini adalah persembahan yang hebat. Datang ke sini, kami dapat menguasai 50-50 bola dan mencatat jumlah percubaan sama banyak dengan mereka.
“Ini adalah satu peningkatan berbanding tahun-tahun kebelakangan, tetapi perjalanan kami masih jauh.”
United sebelum ini mencatat kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris kepada Arsenal dan Nottingham Forest awal bulan ini, menyebabkan mereka terperosok di tangga ke-13 liga selepas permulaan kempen yang buruk.
“Kami perlukan kemenangan ini. Ia adalah satu pernyataan penting untuk keyakinan dan kepercayaan terhadap hala tuju Ruben Amorim serta apa yang dia cuba lakukan,” tambah Maguire.
“Saya yakin ini akan menjadi perjalanan yang positif.”
Sebaliknya, kekalahan menambah derita City yang kini mengalami lapan kekalahan dalam 11 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd