Seperti menepati jangkaan, Konsert The Journey Of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta sejarah apabila membuktikan bahawa dua figura ini masih berbisa.
Hampir memenuhi kapasiti stadium dengan kehadiran lebih 24,000 penonton dari pelbagai pelusuk negeri, semestinya Konsert The Journey Of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza ini layak diberikan pengiktirafan.
Memukau penonton dengan membuat kemunculan menaiki kenderaan mewah jenis GTR, Siti Nurhaliza selayaknya digelar mega.
Memilih tema denim dan putih, konsert The Journey Of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza terus dihangatkan dengan persembahan pembukaan dari penyanyi popular, Faizal Tahir dengan tiga buah lagu hitnya iaitu, Mahakarya Cinta, Sampai Syurga dan dua buah lagu yang di medley kan iaitu, Santai dan OK.
Dengan lebih 30 buah lagu yang dinyanyikan secara solo dan duet, Stadium Merdeka terus digamatkan dengan persembahan penyanyi popular Indonesia, Judika dengan nyanyian dari lagu-lagu popularnya seperti, Bukan Rayuan Gombal, Sampai Akhir, Sampai Kau Jadi Milikku, Jikalau Kau Cinta, Mama Papa Larang, Aku Yang Tersakiti, Putus atau Terus, Mencari Alasan, Medley Rindu Serindu Rindunya, Jadi Aku Sebentar Saja, Tak Mungkin Bersama, Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik Baik Saja dan Cinta Karna Cinta.
Usai mempersembahkan sebanyak 12 buah lagu tanpa henti, kemunculan yang paling ditunggu-tunggu peminat tanah air akhirnya tertunai apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menghangatkan pentas.
Memukau dengan busana dan senyuman manisnya, Siti sempat menyapa peminat dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah hadir termasuklah yang berada di luar stadium sehinggalah pekerja-pekerja bangunan yang menyaksikan konsert tersebut.
Malah, tindakan Siti ‘menghargai’ peminatnya itu mendapat perhatian sehingga tular di platform media sosial.
Tampil dengan 9 buah lagu iaitu medley Siti Situ Sana Sini dan Ku Milikmu, penonton yang hadir mula bersorak dan tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan momen tersebut.
Malah, Siti turut ‘belanja’ peminat dengan lagu Aku Cinta Padamu versi dangdut yang kini popular di platform TikTok.
Selain itu, antara lagu yang masih malar segar yang turut dinyanyikan Siti adalah, Bukan Cinta Biasa, Pastikan & Seindah Biasa (Medley), Kesilapanku Keeoganmu, Diari Hatiku & Bicara Manis Menghiris Kalbu (Medley), Hati Kama & Ya Maulai (Medley), Balqis, Percayalah & Azimat Cinta (Medley) dan lagu baharunya berjudul, Sejarah.
Nyanyian dengan rendisi muzik dan persembahan yang memukau yang ditunjukkan membuatkan gelaran Biduanita ini selayaknya diberikan buat Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Tidak habis disitu, konsert terus dimeriahkan dengan persembahan lagu duet Siti dan Judika antaranya, Kisah Ku Inginkan, Bukan Dia Tapi Aku yang dinyanyikan dalam versi Siti Nurhaliza. Manakala lagu Wajah Kekasih turut tidak ketinggalan dinyanyikan dalam versi Judika.
Selain itu, antara lagu duet lain adalah, Buih Jadi Permaidani (Hal Hebat), Setengah Mati Merindu, Nirmala (Medley) dan lagu ‘berhantu’ Fantasia Bulan Madu.
Dianggap sebagai pengalaman paling tidak boleh dilupakan peminat, Siti juga tidak melepaskan peluang untuk memberi penghargaan buat peminat apabila ‘Lucky Draw’ berupa sebuah kenderaan mewah jenama BMW serta Skuter Elektrik turut disediakan.
Bahkan, di akhir konsert, Siti seakan memberi bayangan bahawa dia bakal tampil dengan konsert pada tahun hadapan.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua. Kalau saya adakan konsert lagi tahun depan ada yang akan hadir lagi?,” soalnya.