Damsyik: Selepas kejatuhan rejim Baath di Syria, sekumpulan sukarelawan belia di Damsyik bersatu untuk membantu mangsa penyeksaan dan doktor yang merawat mereka, dengan menyediakan makanan panas menggunakan sumber yang terhad, lapor Agensi Anadolu (AA).
Berkumpul di sebuah rumah di kejiranan Mezze, selatan Damsyik, sukarelawan ini memasak menggunakan bahan-bahan yang ada.
Makanan yang disediakan diagihkan kepada pesakit yang sedang pulih daripada kesan fizikal dan psikologi akibat penyeksaan di penjara rejim Bashar al-Assad serta kepada doktor yang memberikan rawatan.
Setiap hari, mereka mengagihkan makanan panas kepada kira-kira 750 individu di Hospital Besar Damsyik serta di Hospital Al-Mouwasat, Mujtahid dan Ibn al-Nafees.
Sebelum ini, kumpulan yang sama berganding bahu membersihkan jalan-jalan di bandar raya itu dengan usaha sendiri.
Seorang sukarelawan, Sare Ashur memberitahu AA bahawa mereka memasak dan mengagihkan makanan kepada doktor dan pesakit.
“Kami meraikan kejatuhan rejim Assad. Selepas membersihkan jalan-jalan bersama rakan-rakan, kini kami menumpukan kepada memasak dan mengagihkan makanan.
“Keutamaan kami ialah membantu mereka yang dibebaskan daripada penjara supaya kesihatan mereka pulih. Jika kita bersatu, negara kita akan bangkit semula,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan, Nur Semiha menekankan pentingnya berbuat apa sahaja yang boleh untuk negara.
“Saya tahu memasak, jadi saya membantu dengan menyediakan makanan.
Terdapat ramai pesakit di hospital yang datang dari penjara. Saya menyumbang dengan menyediakan makanan untuk membantu mereka,” katanya.
Bashar al-Assad yang memerintah Syria secara kuku besi selama hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada 8 Disember selepas kumpulan anti-rejim menguasai Damsyik.
Pengambilalihan itu berlaku selepas kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menawan bandar-bandar utama di seluruh negara dalam serangan pantas kurang daripada dua minggu.
Sejak pemberontakan bermula pada Mac 2011, rejim Baath yang telah tumbang itu dilaporkan menyeksa dan membunuh ribuan orang. Namun, angka sebenar yang tidak didokumentasikan dipercayai mencecah puluhan ribu.
Menurut Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria (SNHR), pasukan rejim menahan sekurang-kurangnya 1.2 juta rakyat Syria sepanjang perang saudara dan mengenakan pelbagai bentuk penyeksaan terhadap mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd