am@hmetro.com.my
Gua Musang: Penduduk Orang Asli kaum Temiar di Pos Bihai hidup dalam ketakutan susulan kemunculan harimau belang di penempatan mereka baru-baru ini.
Dalam kejadian terbaharu tiga hari lalu dua anjing peliharaan penduduk diserang harimau belang di Kampung Tendrik, Pos Bihai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud, 40, berkata masyarakat Orang Asli di situ semakin tertekan apabila tanaman mereka turut diancam gajah liar.
Katanya, tindakan segera perlu diambil bagi menjamin keselamatan penduduk Orang Asli yang kini hidup dalam kebimbangan.
“Dalam kejadian terbaharu tiga lalu, harimau belang menyerang dua anjing penduduk di Kampung Tendrik berhampiran rumah kongsi balak dan sehingga kini kesan tapak kaki harimau dapat ditemui di beberapa kawasan kampung.
“Gangguan haiwan liar ini sangat memberi kesan kepada kami kerana semakin takut untuk ke hutan dan tanaman sara hidup yang ditanam untuk persiapan musim tengkujuh juga dirosakkan gajah liar.
“Saya harap tindakan segera dapat diambil untuk menangani masalah ini bagi menjamin keselamatan penduduk kampung. Rondaan perlu diadakan lebih kerap di kawasan penempatan penduduk Orang Asli,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Seorang penduduk, Adek Along, 60, berkata masalah ancaman haiwan liar sangat membimbangkan ketika ini sehingga menjejaskan persiapan masyarakat Orang Asli menghadapi musim tengkujuh.
“Kami memang menderita dan kini susah nak cari makan kerana hasil tanaman di kebun kerap diganggu serta dirosakkan gajah liar.
“Ditambah pula harimau belang yang masih berkeliaran di kawasan kampung dan membunuh anjing peliharaan penduduk. Kami hidup dalam kebimbangan.
“Masalah penerokaan tanah yang berlaku berhampiran penempatan penduduk juga menyebabkan haiwan liar semakin kerap masuk ke kawasan penempatan penduduk untuk mencari makanan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mengakui menerima aduan daripada penduduk Orang Asli yang terjejas dengan serangan haiwan liar.
Katanya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) perlu memberikan pendidikan berterusan kepada Orang Asli berkaitan penyediaan unggun api serta penggunaan lampu halau gajah.
© New Straits Times Press (M) Bhd