sukan@hmetro.com.my
Alor Setar : Meskipun masih kecewa dengan isu tunggakan gaji yang belum selesai, penyerang utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Milos Gordic tetap berikan terbaik buat pasukan apabila kembali menyambung aksi pada saingan suku akhir pertama Piala Cabaran 2024 menentang KL Rovers di Stadium Darul Aman malam esok.
Pemain import kelahiran Serbia ini berkata, rasa kecewa mengenai nasib dihadapi pasukannya itu perlu ditolak tepi demi mahu menjaga maruah pasukannya tambahan pula ini aksi penting dihadapan ribuan penyokong di laman sendiri.
“Jika anda mahu saya mengatakan sesuatu tentang permainan ini, anda semua sudah tahu tentang situasi yang kami sedang hadapi dimana kami telah lama tidak mempunyai penaja baharu dan isu gaji kami yang mana ianya bertambah sukar selepas ketua jurulatih dan kapten meninggalkan pasukan.
“Namun aksi dalam bola sepak perlu diteruskan dan Kedah harus berjuang untuk masa depan dan maruahnya seperti juga kami sebagai pemain KDA FC.
“Saya akan bermain dengan aksi seratus peratus dalam cabaran Challenge Cup ini dan saya harap semua pemain akan melakukan yang terbaik untuk menggembirakan peminat setia kami dengan keputusan kemenangan keatas KL Rovers,” katanya.
Dalam pada itu pencetak satu gol dalam aksi Liga Super ketika menentang Sabah FC pada 29 Oktober ini juga yakin peranan penting yang sedang digalas Ketua Jurulatih Interim Victor Andrag mampu memberi impak yang terbaik buat semua pemain dalam pasukan melalui pengalamannya sebelum ini.
“Jurulatih Victor kini melakukan tugas yang sangat baik selepas ketiadaan Nafuzi Zain yang tidak lagi bersama kami sejak bulan lalu dan beliau juga sedang mempersiapkan kami dalam pasukan dengan baik untuk baki musim ini demi mengejar peluang untuk kejayaan pasukan,” katanya.
Kedah bakal membuat perhitungan dalam aksi timbal balik suku akhir kedua menentang KL Rovers pada 22 Disember ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
© New Straits Times Press (M) Bhd