Pemain import kagum kualiti pemain sepak takraw negara

Pemain import kagum kualiti pemain sepak takraw negara

sukan@hmetro.com.my

Melaka: Pemain import yang beraksi di Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2024, baru-baru ini, mengakui pemain negara memiliki kualiti tersendiri untuk terus membantu skuad kebangsaan muncul sebagai pasukan digeruni di dunia.

Pemain import Melaka dari Thailand, Rusdee Lereem, 28, berkata, dia melihat ramai pemain muda memiliki ciri positif untuk menyerlah sebagai pemain disegani dan pelapis masa hadapan.

Malah, katanya, ramai pemain negara yang beraksi sepanjang kejohanan memperlihatkan kematangan mereka dan terus meningkat.

Katanya, dengan banyak kejohanan di negara ini seperti Kejohanan Liga Sepaktakraw (STL) dan Piala Tun Ali menerusi kehadiran pemain import, membolehkan kematangan mereka terus diolah dengan cepat.

“Corak permainan di negara ini amat memberangsangkan dan saya amat seronok dapat beraksi di Malaysia, sekali gus meningkatkan corak permainan saya serta membantu rakan menajamkan sentuhan.

“Selain Melaka, saya pernah mewakili Bomba dan Kelantan dalam saingan STL yang secara tidak langsung membolehkan saya memahami corak unik pemain Malaysia serta kelebihan mereka yang tiada kepada pemain dari negara kami, “katanya.

Sementara itu, bagi import dari Indonesia, Hardiansyah Muliang yang mewakili Pulau Pinang mengakui teruja beraksi buat pertama kali sebagai pemain import di negara ini.

Katanya, komitmen tinggi semua pemain untuk beraksi dengan cemerlang meletakkan dia berusaha mencurahkan segala pengalaman untuk membantu kejayaan pasukan sepanjang kejohanan berkenaan.

Piala Tun Ali menyaksikan lebih 20 pemain import beraksi berbanding tahun lalu tiga kelab dari luar negara termasuk Thailand menyertai kejohanan.

Namun format kali membolehkan lebih ramai pemain asing beraksi mewakili kelab dan pasukan jemputan tempatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top