Pelakon, Shiqin Kamal mengakui sudah kurang berminat untuk membawa watak sebagai seorang penyondol.
Ketika ditemui XTRA, Shiqin berkata dia kini lebih selektif terutamanya dalam pemilihan watak, selain berharap agar penulis mencipta skrip yang lebih bijak.
“Saya bukan tolak tawaran bekerja cuma adalah sedikit selektif. Produksi luar suka bagi saya watak penyondol. Memang betul muka saya ni boleh bawa watak itu tapi bila selalu sangat orang benci betul-betul sampai terkait kehidupan saya.
“Saya berharap sangat ada orang yang berani untuk buat skrip yang lebih bijak. Template drama curang tu dah sama. Saya bukan nak cakap dah tak minat, nanti orang kata tolak rezeki pula tapi sejujurnya, saya dah bosan,” katanya.
Sementara itu, Shiqin berkata dia teringin untuk membawa watak sebagai seorang perisik.
“Sebenarnya ada je pelakon yang nak melakonkan cuma nasib mereka ada segelintir produksi dah skeptikal. Saya banyak kali kena kena bawa watak jahat sebab muka saya garang.
“Kalau boleh nak drama selain drama curang contohnya wanita aksi, perisik ke. Saya tak pernah diberi peluang dengan skrip yang hebat atau skrip berbeza, bukan drama penyondol,” ujarnya.
Shiqin berkata demikian ketika ditemui di malam gala filem Riversi berlangsung pada Selasa lalu di GSC, Midvalley Megamall.
Dalam masa sama, Shiqin turut memasang impian untuk menjadi seperti pelakon antarabangsa terkenal, Angelina Jolie, serta tidak kisah untuk menjalani latihan fizikal demi watak.
“Saya nak jadi Angelina Jolie Malaysia. Saya tak kisah kalau kena pergi training, buat badan, kena jaga makan. Saya sanggup sahut cabaran itu. Bagi saya sudah tiba masanya untuk lakukan perubahan dan memperbanyakkan karya yang mempamerkan kekuatan dan kehebatan wanita,” katanya.
Selain Shiqin, Reversi yang bakal menemui penonton di pawagam pada 19 Disember ini turut dibintangi Beto Kusyairi, Vanidah Imran, Hasnul Rahmat, Azhan Rani dan Zahiril Adzim.