Mufti perlu segera beri pandangan isu babitkan hukum syarak

Mufti perlu segera beri pandangan isu babitkan hukum syarak

Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar meminta semua mufti negeri segera mengeluarkan pandangan berkaitan isu yang menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata mufti negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkan pendapat berkaitan hukum syarak bagi mengelakkan kekeliruan.

“Bila mana ada isu libatkan persoalan hukum, masyarakat biasanya akan tertanya-tanya.

“Dengan kuasa yang ada pada mereka (mufti) maka keluarkan pandangan hukum dengan segera supaya masyarakat tidak terpinga-pinga, macam mana nak buat, macam mana nak faham isu tersebut dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman Belanjawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2025 di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata demikian bagi mengulas isu tular di media sosial berkaitan tindakan sebuah hospital swasta di Selangor yang didakwa menahan mayat bayi lelaki selama 16 hari di dalam peti sejuk mayat kerana bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.

Pada masa sama, Mohd Na’im berkata beliau telah meminta Mufti Wilayah Persekutuan Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah untuk memberikan pandangan dari segi hukum berhubung isu itu.

Beliau berkata, Skuad Jejak Asnaf MAIWP telah mengenal pasti keluarga terbabit dan akan menyantuni mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top