Jangan jadi hipokrit – Megat D Shahriman

Jangan jadi hipokrit – Megat D Shahriman

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jangan jadi hipokrit, selepas sembilan tahun kenapa sekarang baru nak muncul?

Itu pandangan dilontarkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika ditanya berhubung cabaran yang akan diterimanya menjelang Mesyuarat Agong Tahunan (AGM), Sabtu ini.

Megat dalam satu sidang media menegaskan akan mempertahankan jawatan presiden apabila beliau akan dicabar oleh bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Saya mahu pastikan sukan para milik keluarga para. Kalau sebelum ini keluarga ini diperlekehkan, kenapa baru sekarang orang yang selama ini tidak mengendahkan kami tiba-tiba sekarang hendak ambil berat.

“Selama beliau menjadi Ketua Pengarah MSN dan memiliki kuasa, berlaku penindasan kepada sukan para dan ia adalah satu fakta. Kita ditindas dan tiba-tiba kita hendak terima orang macam ini.

“Jadi saya nasihatkan elok saja beliau berehat. Selama sembilan tahun ini beliau sepatutnya boleh bantu, bila ada kuasa dia sepatutnya tolong kita, tapi hari ini bila dah tak ada kuasa, dia datang untuk bertanding.

“Jadi bagi saya jangan jadi hipokrit,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, Shapawi dalam satu kenyataan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden MPM selepas mendakwa ada ahli gabungan MPM sendiri yang mahukan perubahan dalam kepimpinan.

Megat menegaskan tugasnya belum selesai dan dia mahu meneruskan peranannya sebagai presiden untuk penggal baharu ini kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan untuk MPM dan sukan para negara.

Menurutnya, antaranya bagi memastikan dua kontrak kerjasama penting bersama dua syarikat untuk dana yang pastinya akan membantu MPM untuk meneruskan program akar umbi prestasi tinggi dan program luar podium.

Katanya, ia adalah untuk memperkasakan persatuan para kebangsaan.

Tambah Megat, kerjasama dengan entiti atau syarikat untuk bekerjasama dengan MPM sangat penting kerana sudah menjadi tanggungjawab presiden untuk mencari dana sendiri bagi menampung perbelanjaan program dan pengurusan MPM.

Sepanjang empat tahun memimpin MPM, Megat membawa badan induk sukan para negara ke tahap lebih tinggi di peringkat Asia Tenggara, Asia dan dunia.

Beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Tadbir Persekutuan Sukan Para Asia Tenggara (APSF), Wakil Sub-Region Jawatankuasa Paralimpik Asia, dan Ahli Lembaga Eksekutif Persekutuan Bolasepak Cerebral Palsy Antarabangsa (IFCPF).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top