Hantaran Ahmad Samsuri di Facebook cetus spekulasi peletakan jawatan Bendahari Agung PN

Hantaran Ahmad Samsuri di Facebook cetus spekulasi peletakan jawatan Bendahari Agung PN

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dilihat memberi bayangan bahawa keputusannya melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) tindakan betul dan dilakukan pada masa yang tepat.

Ia berikutan satu hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini yang memetik kata-kata pemain bola keranjang legenda, Kareem Abdul-Jabbar, yang dipercayai berkait dengan peletakan jawatannya itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu dalam hantaran itu menulis, “Petikan daripada Kareem Abdul-Jabbar: Saya cuba melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai. Ia mungkin hanya perkara kecil, tetapi pada kebiasaannya akan membezakan antara menang dan kalah.”

Semalam, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Ahmad Samsuri mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN, namun tidak mengulas lanjut.

Sebelum itu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman itu memilih untuk mengunci mulut daripada mengulas isu peletakan jawatan beliau secara mengejut sebagai Bendahari Agung PN

Beliau yang ditemui media selepas Majlis Penyerahan Projek Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng di Rumah Pam Penggalak Gebeng, Kuantan di Pahang sebaliknya berkata, kenyataan akan dikeluarkan pada masa yang sesuai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top