am@hmetro.com.my
Jerantut: Laluan utama di Kampung Paya Garok, dekat sini, yang ditutup akibat banjir dengan air mencecah hampir satu meter, memaksa petugas peperiksaan dan kesihatan menyeberangi kawasan yang tenggelam menggunakan bot.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jerantut Kapten (PA) Muszaidi Musa berkata, pihaknya membantu 10 petugas peperiksaan amali Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) menaiki bot fiber pada 6.50 pagi ini untuk melaksanakan tugas mereka di kawasan masing-masing.
“Lima daripada mereka (petugas SPM) ditugaskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Padang Piol, manakala lima lagi di SMK Felda Sungai Retang.
“Selain itu, APM turut membantu pelajar, guru dan petugas kesihatan yang berkhidmat di sekitar Padang Piol, Sungai Retang dan Kuala Tahan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Katanya, laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan sejak 6 pagi semalam, dengan jarak yang ditenggelami air sepanjang kira-kira 110 meter.
“Walaupun paras air menurun kepada 0.38 meter pagi ini, laluan itu hanya boleh dilalui kenderaan berat dan pacuan empat roda.
“Paras air sungai pula masih bergantung kepada keadaan cuaca di Ulu Tembeling,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd