Duda atau tidak, saya tiada masalah kerja dengan Fattah Amin – Sophia Albarakbah

Duda atau tidak, saya tiada masalah kerja dengan Fattah Amin – Sophia Albarakbah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sophia Albarakbah, mengakui tidak berasa risau untuk berlakon dengan Fattah Amin setelah diberi tugas untuk menggalas watak utama di samping aktor itu dalam drama berjudul Aku Cinta Dia.

Malah menurut Sophia, status Fattah sebagai seorang duda juga tidak membimbangkan dirinya kerana dia hanya akan menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon.

“Tak kira status dia apa pun, kalau orang nak berkata mereka akan tetap berkata tapi bagi saya status seseorang itu tidak memberi kesan pada kerja saya.

“Saya tidak takut, apatah lagi kami masing-masing nak menjayakan watak tapi kalau nak kata risau kata-kata orang, saya tak risau. Sebab tak kira apa yang saya buat, betul atau salah, orang tetap akan kata.

“Yang penting tanggungjawab saya sebagai pelakon adalah menjayakan watak saya dengan baik,” katanya.

Tambah Sophia, dia juga pernah bergandingan dengan ramai aktor sebelum ini, justeru gandingan bersama Fattah, tidak akan mendatangkan masalah.

“Saya rasa bukan dengan Fattah saja, dengan mana-mana pelakon lelaki, tak kira status, saya rasa ia bukanlah isu ataupun suatu yang perlu saya risaukan.

“Ini kerana saya pernah bekerjasama dengan ramai lagi pelakon berbeza status jadi tak menjadi masalah buat saya,” katanya.

Selain itu, Sophia berkata, dia pernah bekerjasama dengan Fattah menerusi filem Mimaland sebelum ini dan diharapkan kerjasama mereka menerusi drama arahan Erma Fatima itu nanti akan berjalan dengan lancar.

“Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Fattah menerusi filem Mimaland pada 2019 dan ini akan jadi kali kedua kami bekerjasama.

“Saya pun tak tahu nak jangkakan macam mana nanti sebab kali pertama pun pada lima tahun lalu, apatah lagi ketika itu saya baru mula berlakon.

“Tapi sekarang kami akan bersama rakan pelakon yang lain juga, dengan pengalaman yang ada, saya harap semua akan berjalan senang,” katanya.

Sophia ditemui pada sidang media pengumuman Duta Eksklusif dan Wajah Baharu serta projek drama pertama Usanita Entertainment, baru-baru ini.

Usanita Sdn Bhd, menerusi cabang baharunya, Usanita Entertainment mengumumkan pelantikan Fattah Amin sebagai Duta Eksklusif dan Sophia Albarakbah sebagai Wajah Baharu bagi 2025.

Usaha ini menandakan komitmen berterusan Usanita dalam memperkasa industri kreatif tempatan dan membawa bakat seni Malaysia ke peringkat global.

Sebagai langkah pertama yang signifikan, Usanita Entertainment bakal menerbitkan drama bersiri pertama. Drama ini akan diarahkan oleh Erma Fatima, dan menampilkan Fattah serta Sophia sebagai watak utama.

Drama ini akan ditayangkan secara eksklusif di platform digital TikTok Usanita, menawarkan pengalaman tontonan baharu kepada penonton. -UTUSAN

Scroll to Top