Torres pacu Barca ke peringkat kalah mati

Torres pacu Barca ke peringkat kalah mati

Dortmund, Jerman: Pemain gantian Ferran Torres meledak dua gol dalam tempoh 10 minit bagi membolehkan Barcelona menang 3-2 di Borussia Dortmund awal pagi tadi dan mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Raphinha membuka tirai jaringan dengan rembatan untuk Barcelona pada minit ke-53 selepas menerima hantaran Dani Olmo tetapi Serhou Guirassy menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian menerusi penalti.

Torres yang masuk menggantikan bekas penyerang Dortmund Robert Lewandowski menolak bola masuk ketika permainan berbaki 15 minit tetapi Guirassy sekali lagi mengikat kedudukan.

Ketika tuan rumah meningkatkan asakan untuk mencari kemenangan pertama ke atas Barcelona dalam lima pertemuan mereka, Lamine Yamal menghantar bola kepada Torres dan pemain sayap itu merembat melepasi Gregor Kobel.

“Dortmund adalah pasukan yang selalunya menekan anda sehingga saat akhir,” kata pemain tengah Barcelona Olmo kepada DAZN.

“Saya fikir kami beraksi sangat bagus dan kami memanfaatkan peluang sebaiknya. Apapun, kami pulang dengan gembira.”

Kemenangan itu mengesahkan Barcelona mara sekurang-kurangnya ke saingan playoff dan meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik untuk mara automatik ke peringkat 16.

Dortmund pula tewas kali pertama di tempat sendiri dalam semua kejohanan musim ini dan merosot ke tangga kesembilan dalam kumpulan Liga Juara-Juara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top