Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.4300/4355 berbanding dolar AS daripada 4.4250/4300 semasa ditutup semalam. Foto hiasan
RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini bagi hari ketiga berturut-turut berikutan langkah berwaspada pelabur yang tidak memasuki pasaran menjelang pengumuman laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) lewat malam ini.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan menyusut kepada 4.4300/4355 berbanding dolar AS daripada 4.4250/4300 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) kekal lebih tinggi pada sekitar 106.6 mata menjelang pengumuman data IHP AS.
“Peniaga mengambil pendekatan berhati-hati mengenai inflasi AS terutamanya apabila (mesyuarat) Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) minggu depan akan membawa implikasi penting terhadap trajektori pelonggaran monetari untuk 2025,” katanya kepada Bernama.
Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6389/6459 daripada 5.6466/6537, meningkat berbanding euro kepada 4.6515/6573 daripada 4.6595/6648 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 2.9013/9051 daripada 2.9189/9224 semasa ditutup pada Selasa.
Mata wang tempatan turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2937/2980 daripada 3.2988/3028 pada Selasa
dan menambah berbanding baht Thailand kepada 13.0640/0875 daripada 13.1006/1236.
Ringgit turut naik berbanding peso Filipina kepada 7.59/7.61 daripada 7.63/7.64 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 278.2/278.7 dari 278.7/279.2 sebelum ini. – Bernama