Warga emas rugi lebih RM10,000, dirompak ketika tidur

Warga emas rugi lebih RM10,000, dirompak ketika tidur

am@hmetro.com.my

Kluang: Wanita mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila wang tunai dan barang kemas dipakainya dilarikan perompak di Taman Intan, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku kira-kira 3 pagi ketika wanita berusia 67 tahun yang tinggal seorang diri di rumah dua tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa sedang tidur di ruang tamu sebelum tersedar lalu ternampak lelaki memakai topeng datang ke arahnya.

Menurutnya, suspek bertubuh kurus dengan ketinggian 155 sentimeter mengarahkan mangsa tidak menjerit dengan membuat isyarat tangan lalu menekup mulutnya.

“Suspek kemudian mengambil dua utas gelang emas dan seutas rantai emas yang dipakai mangsa.

“Lelaki itu turut mengambil wang tunai dianggarkan RM2,000, empat cincin emas dan lima cincin batu dalam beg tangan mangsa yang diletakkan di bawah katil di ruang tamu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kejadian berkenaan tular di media sosial sejak malam tadi yang meminta penduduk berhati-hati.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top