Ketengah Muzik Dari Generasi Berbeza! Hattan, Hazama & Black Bergabung Di Pentas Sama… Hangatkan Konsert Hitam Manis Februari Depan

Ketengah Muzik Dari Generasi Berbeza! Hattan, Hazama & Black Bergabung Di Pentas Sama… Hangatkan Konsert Hitam Manis Februari Depan

Menampilkan tiga penyanyi hebat tanah air, Datuk Hattan, Hazama dan Black Hanifah bakal berkongsi pentas pada Konsert Hitam Manis yang akan diadakan Februari tahun hadapan.

Konsert yang bakal berlangsung di Plenary Hall, KLCC ini dijangka akan menjadi acara muzik paling memukau apabila menampilkan tiga elemen penting iaitu, nostalgia, rock dan suara hebat tiga figura ini.

 

Menemui peminat pada 8 Februari 2025, Konsert Hitam Manis akan menjadi antara konsert berskala besar pertama bagi membuka tirai tahun baharu.

Dihangatkan secara eksklusif oleh penganjur Reach Events, konsert ini pastinya menjanjikan sebuah persembahan yang dinamik apabila menampilkan gabungan lagu-lagu hits daripada setiap penyanyi serta kolaborasi eksklusif yang pastinya akan memukau peminat.

Berada dalam industri hampir empat dekad, lagenda muzik rock Malaysia, Datuk Hattan berjaya menambat hati peminat dengan lagu-lagu ikoniknya seperti Biso Bonar, Mahligai Syahdu dan Memburu Rindu.

Manakala, Hazama yang juga pemenang program nyanyian realiti dan penyanyi terkenal dengan vokal husky nya ini pastinya bakal menggegarkan pentas dengan lagu-lagu hitnya seperti Relakan Jiwa, Penglipur Lara, Sampai Mati dan banyak lagi.

Sementara itu, Black yang terkenal dengan suara lantang dan gaya persembahan yang energetik ini juga pasti menjanjikan persembahan yang bakal memukau peminat.

Lebih lagi apabila ayah anak dua ini mendendangkan lagu popularnya seperti, Sofea Jane, Teman Pengganti dan Anugerah Terindah.

Menurut Datuk Hattan, kolaborasi ‘Hitam Manis’ ini membuatkan dia berasa sangat gembira apatah lagi dapat mengetengahkan muzik dari generasi yang berbeza.

“Konsert ini sangat istimewa bagi saya kerana ia menggabungkan elemen muzik yang berbeza dari generasi yang berbeza.

“Saya yakin peminat akan terhibur dan merasai kelainan dalam setiap persembahan,” katanya.

Sementara itu, Hazama yang teruja dengan konsert yang bakal berlangsung ini berkata,  konsert ‘Hitam Manis’ merupakan bukti perpaduan antara artis pelbagai generasi.

“Saya teruja kerana dapat bersama Datuk Hattan dan Black. Ia satu peluang istimewa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat kami,” jelasnya.

Dalam masa sama, Black berpendapat konsert Hitam Manis ini bukan hanya sekadar konsert tetapi ia akan menjadi satu perjalanan yang epik.

“Ini bukan hanya sekadar konsert, tetapi satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati peminat dari pelbagai lapisan masyarakat. Kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta kenangan bersama peminat,” ujarnya.

Untuk info, Konsert Hitam Manis dijangka berlangsung selama tiga jam dan menawarkan pelbagai segmen menarik misalnya, tribute untuk arwah Jay Jay. Bagi mendapatkan tiket konsert ini, peminat boleh melayari www.ticket2u.com. Tiket sudah dijual sejak 4 Oktober lalu.

 

Scroll to Top