mohdsyazwan@hmetro.com.my
Sepang: Barisan pemain skuad Harimau Malaya bersedia memerah kudrat dengan mempamerkan persembahan terbaik di kejohanan Piala Asean 2024 sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia dan pengendali pasukan kebangsaan Pau Marti Vicente.
Walaupun barisan pemain kali ini tidak dibarisi tonggak utama namun kapten pasukan kebangsaan Syamer Kutty Abba yakin rakan sepasukannya mampu meraih keputusan positif dalam usaha memastikan skaud Harimau Malaya melangkah jauh di kejohanan itu.
Beliau berkata, barisan pemain muda dan baru juga boleh mengutip sebanyak mungkin pengalaman seterusnya membuktikan kemampuan masing-masing di pentas antarabangsa.
“Kita tahu yang kita kesuntukan masa untuk buat persiapan tapi kita tahu idea jurulatih nak dan apa yang kita perlu buat, jadi saya harap kita dapat menyesuaikan diri dengan cepat untuk perlawanan pertama.
“Ini adalah peluang untuk pemain-pemain berbuat sesuatu untuk negara dan kita tahu kita tidak berpeluang untuk dapatkan semua pemain tapi kita hargai kepada semua yang datang dan akan memberikan sesuatu buat pasukan negara.” Katanya, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Skuad Harimau Malaya akan berlepas ke Phnom Penh, Kemboja bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad ini.
Selain itu, Syamer yang juga pemain Penang FC berkata, keputusan positif di pentas Piala Asean 2024 juga boleh dianggap sebagai hadiah perpisahan buat Vicente yang akan meninggal pasukan sebaik selesai tugasan di kejohanan terbabit.
“Semua orang tahu jurulatih sudah lama dengan pasukan kebangsaan dan pengumuman oleh beliau memberi impak kepada kami namun kami harapkan kejohanan ini dapat dijadikan sebagai hadiah perpisahan yang baik untuk beliau selepas apa yang beliau sudah lakukan untuk pasukan,” katanya.
Mengikut rekod, jurulatih berasal dari Sepanyol itu secara rasmi mengumumkan bahawa Piala Asean 2024 adalah tugasan terakhirnya bersama pasukan kebangsaan.
Pengundurannya daripada mengendalikan skuad Harimau Malaya adalah kerana keputusan yang dibuat susulan penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.
Skuad negara seterusnya akan pulang ke tanah air untuk perlawanan kedua menentang Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu, 11 Disember.
Selepas itu, pasukan kebangsaan akan terbang pula ke Bangkok, Thailand bagi perlawanan ketiga menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Sabtu, 14 Disember sebelum menamatkan perlawanan peringkat kumpulan di tempat sendiri menentang Singapura tiga hari kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd