Tradisi ilmu dalam golongan muda makin melemah – PM

Tradisi ilmu dalam golongan muda makin melemah – PM

yusri.muzamir@bh.com.my

Bangi: Orang ramai, terutama golongan muda perlu melengkapkan diri dengan kerangka asas sebagai persediaan mendepani cabaran globalisasi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini kerana tradisi ilmu dalam kalangan golongan muda dilihat semakin melemah, sambil menegaskan keadaan itu perlu diperhalusi dan difahami oleh belia.

“Saya kira untuk mengangkat martabat umat negara Madani ini masih tetap asasnya dan latih rakyat, sama ada ‘digitalization’ (pendigitalan) atau AI (kecerdasan buatan)..

“Ia lebih menuntut dan mencabar kita untuk melengkapkan diri dengan kerangka asas iaitu memberi makna dengan kekuatan dan asas ilmu pembacaan dan mentelaah karya besar dan agung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Buku ‘Amanah Daiwah’ dan ‘Mohammad Natsir Ilmuan Ulung Alam Melayu Abad Ke-20’, masing-masing karya Dr Razali Nawawi serta K Kamal Hassan di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sementara itu, Anwar berkata, generasi muda perlu memberi makna kepada konsep ‘Adabani Rabbi Fa’asanta’ iaitu penghayatan kepada adab dan nilai ketuhanan yang diintegrasikan dengan kekuatan ilmu, pembacaan serta penelaahan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, penguasaan ilmu pengetahuan dalam kalangan anak muda bukan sahaja membabitkan kemahiran teknikal, tetapi juga keupayaan memahami falsafah dan nilai yang mendasari pembangunan masyarakat harmoni dan progresif.

“Kecemerlangan ini tidak hanya bergantung pada teknologi, tetapi juga bagaimana kita memanfaatkannya dengan adab dan hikmah,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top