Aqasha simpati nasib Azlan Komeng

Aqasha simpati nasib Azlan Komeng

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Aqasha melahirkan perasaan simpati terhadap nasib rakannya, pelakon Azlan Komeng yang mengalami kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Aqasha atau nama sebenar, Firdee Akassya Rosli, 42, berkata, dia belum berkesempatan untuk berjumpa Azlan dan merancang melakukannya selepas ini.

“Azlan ini adalah dalam kelompok kawan-kawan saya. Waktu saya terbitkan filem Bangunan, dia adalah salah seorang yang terbabit sebagai tenaga di belakang tabir.

“Jadi bila saya dengar dia ditimpa musibah begini, memang rasa simpati sebab sebelum dia kena kemalangan berat ini pun dia ada kemalangan lain sampai patah kaki.

“Saya sentiasa mendoakan sahabat-sahabat dalam industri agar mereka sentiasa dalam keadaan tenang menerima ujian Allah,” katanya ditemui pada temubual bagi mempromosi Malam Laguan Puisi di Studio Funky Brigade, di sini, semalam.

Aqasha berkata, kehidupan semakin lama semakin moden serta mencabar sekarang dengan setiap individu perlu berdepan pelbagai perubahan.

“Dari segi politik, segi kerjaya yang mana saya tak nafikan bila dah meningkat usia sedikit sebanyak akan mengganggu kestabilan mental kita.

“Jadi saya harap teman-teman seperjuangan di luar sana terus kuat semangat jangan putus asa dan sentiasa panjatkan doa kepada Allah SWT,” katanya. Menurutnya, dia mendengar pelbagai cerita selepas Azlan mengalami kemalangan antaranya menyuruh isterinya Nur Nilam Ortiz agar membawa haluan sendiri dan ia sesuatu yang menyedihkan.

“Bila dengar itu kita sebagai manusia rasa kita sedar benda ini. Kadang-kadang bukan masalah fizikal sahaja, kita tengok ada juga kawan-kawan lain rumah tangga bercerai berai.

“Apa yang saya boleh buat ialah mendoakan untuk semua. Kita semua maklum jadi lelaki cabarannya berat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aqasha akan menjayakan Malam Laguan Puisi di Panggung Eksperimen Aswara pada 8 Februari depan.

Turut menjayakan persembahan ialah Leaism, Ayu Damit, Azizul Haqim dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top