rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memasang impian memburu kemenangan apabila berdepan kelab dari Thailand, Buriram United FC pada aksi Kumpulan Zon Timur saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, malam esok.
Pertembungan yang dianggap Battle of South East Asia itu dilihat begitu mencabar buat pengendali kelahiran Argentina yang menyifatkan JDT tidak boleh keciciran mata seandainya mahu memburu slot ke peringkat 16 pasukan terbaik saingan kelab elit Asia itu.
Justeru, beliau menuntut barisan pemain skuad Harimau Selatan yang diturunkan mengekalkan rentak permainan berintensiti tinggi dan melupakan episod duka ketika tewas tipis 0-1 kepada Shandong Taishan pada 26 November lalu.
“Perlawanan ini amat penting bagi mencerahkan peluang untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya lebih-lebih lagi apabila beraksi di laman sendiri, kita tidak boleh tersalah langkah dan gagal memanfaatkan peluang ini untuk menuai tiga mata.
“Dalam saingan ACLE musim ini, JDT berjaya menunjukkan betapa kompetitifnya wakil tunggal dari Malaysia bersaing dengan kelab elit di rantau Asia, namun kami tidak boleh berpuas hati kerana perjalanan masih berliku dan kami amat perlukan kemenangan untuk melangkah jauh,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bidoglio menambah, walaupun JDT terdesak untuk mencari kemenangan untuk berada di kedudukan lebih selesa dalam peringkat kumpulan, ia tidak menjejaskan mentaliti pemain kerana mereka kerap bermain dalam tekanan dan mampu mengatasi apa jua situasi.
“Dalam setiap perlawanan yang kami harungi, kami anggap ia sebagai aksi final, dan pemain sudah terbiasa dalam situasi itu. Pemain berasa gembira malah teruja untuk diturunkan menjelang perlawanan esok, ini mendatangkan kesukaran buat saya bagi memilih kesebelasan yang terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, pemain bek tengah, Jordi Amat berkata, pertembungan esok adalah penting buat kedua-dua pasukan yang pada ketika ini mengutip tujuh mata daripada lima perlawanan, berkongsi mata dengan Shanghai Shenhua, Shandong Taishan dan Shanghai Port.
Katanya, kemenangan ini amat penting untuk mengukuhkan posisi JDT dalam saingan peringkat kumpulan seterusnya mendapat semula sentuhan kemenangan selepas di palit kekalahan pada minggu lalu.
“Ini akan menjadi pertemuan antara pasukan terbaik di Malaysia menentang pasukan terbaik di Thailand, kedua-dua mempunyai sistem permainan yang hampir sama. Jadi, ia akan menjadi perlawanan yang menarik, harapnya pasukan mampu pasukan menampilkan aksi terbaik sepanjang permainan.
“Situasi di bilik permainan sedikit berbeza setelah rakan-rakan merasakan pasukan mampu hasilkan keputusan yang lebih baik setelah tewas tipis 0-1 kepada Shandong.
Oleh itu, ini adalah peluang untuk kami bangkit semula bagi mendapatkan rentak kemenangan,” ujarnya.
Katanya, dengan sokongan padu penyokong Harimau Selatan yang membanjiri stadium keramat JDT itu pasti meningkatkan lagi motivasi dalam usaha memburu keputusan yang positif dan tidak membenarkan lawan untuk mencuri sebarang mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd