Modal RM300 aje…

Modal RM300 aje…

razis@mediaprima.com.my

USIA muda bukan penghalang kepada Tuan Harith Tuan Mohd Kamarul Azli, 21, menceburi bidang penternakan ayam penelur sejak Jun lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu bijak memanfaatkan ruang di belakang kediamannya di Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh, Kelantan untuk menternak 55 ayam penelur baka Lohmann Brown F1.

Dengan penghasilan 30 hingga 35 telur pelbagai gred setiap hari, penuntut tahun akhir jurusan ukur bahan di Politeknik Kota Bharu itu mampu menjana pendapatan RM350 sebulan.

Malah, seiring dengan perkembangan semasa, Tuan Harith aktif mengadakan siaran langsung di TikTok untuk berkongsi ilmu penternakan ayam penelur bagi menarik minat golongan muda menceburi bidang itu.

Tuan Harith berkata, sejak kecil, dia didedahkan dengan penternakan ayam kampung yang dijalankan keluarganya sehingga tercetus minat mula menternak sendiri ayam penelur.

“Perancangan menternak dibuat sejak awal Januari dan saya buat kajian serta belajar secara sendiri daripada penternak berpengalaman, bahan bacaan dan buat carian di internet.

“Bermodalkan RM300 untuk membeli 20 anak ayam dan makanan, saya mula menternak di reban sedia ada.

“Alhamdulillah, selepas empat bulan, saya dapat mengutip hasil. Dengan keuntungan diperoleh, saya jadikan sebagai modal menambah jumlah ayam menjadi 35. Baru-baru ini saya tambah lagi jumlah ayam menjadi 55 semuanya,” katanya.

Katanya, sehingga kini dia mendapat permintaan tinggi dan maklum balas positif dalam kalangan pelanggan yang berpuas hati dengan telur yang dijual.

“Kualiti telur yang memiliki kulit tebal, kuning telur pekat dan sukar pecah menjadi tarikan untuk terus membeli.

“Permintaan sangat tinggi, sehingga sampai satu tahap saya terpaksa tolak atau catu kerana jumlah telur sedia ada tidak mencukupi,” katanya.

Menurutnya, untuk penternakan ayam penelur, dia menggunakan dua sangkar dua tingkat menggunakan sistem bateri.

“Sistem ini lebih efisien untuk proses pemberian makanan dan minuman bagi memastikan ternakan memperoleh nutrien yang mencukupi.

“Dengan menggunakan sangkar ini, telur dikeluarkan akan terus bergolek keluar, sekali gus dapat menjamin kebersihan. Selain itu, najis ternakan terus jatuh ke pelapik di bawah sangkar,” katanya.

Mengulas lanjut, penjagaan ayam penelur tidak terlalu rumit namun dia menitik beratkan kebersihan dan pemakanan.

“Untuk menguatkan antibodi ayam daripada diserang penyakit, saya gunakan ancipine 707 dicampur ke dalam air.

“Selain itu saya guna vitamin hicomix dibancuh dengan dedak supaya ayam dapat menghasilkan telur berkualiti,” katanya.

Untuk memastikan aktiviti penternakan tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada keluarga dan penduduk setempat terutama bau kurang menyenangkan, Tuan Harith membuat semburan ‘effective microorganisme’ (EM) di sekitar sangkar.

“Setiap dua hari sekali semburan EM dilakukan supaya dapat meminimumkan masalah itu, sekali gus memberi keselesaan kepada orang di sekeliling. Alhamdulillah setakat ini, semuanya terkawal.

“Dengan menternak ayam menggunakan ‘teknik rumahan’ pada skalakecil, penjagaan ternakan lebih terurus,” katanya.

Berkongsi perancangan masa hadapan, Tuan Harith bercadang meningkatkan skala operasi supaya dapat memenuhi permintaan penduduk setempat.

“Selain itu, saya ingin terus berkongsi ilmu dan memberi motivasi melalui media sosial untuk menarik lebih ramai golongan muda supaya menceburi bidang penternakan .

“Pada masa sama, saya harap pihak berkaitan dapat anjurkan bengkel atau kursus untuk melahirkan lebih ramai penternak ayam penelur dalam kalangan golongan muda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top