Mamat Exists kini makin pulih, sihat, ceria dan badan berisi

Mamat Exists kini makin pulih, sihat, ceria dan badan berisi

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan Exists, Mamat yang kini di bawah pengawasan untuk rawatan dan pemulihan oleh pihak Persatuan Pengasih Malaysia di Kompleks Pengasih Cinta Manis, Bentong Pahang didapati semakin sihat.

Terdahulu, video keadaan terkini Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 47, dikongsikan ahli keluarganya di media sosial ketika menziarah penyanyi itu pada Oktober lalu.

Pengurusnya dikenali Azizul Abu Hassan dihubungi berkata, keadaan kesihatan Mamat sekarang memang menunjukkan dia semakin pulih dengan perubahan diri yang sangat positif kerana begitu ceria dan badan juga berisi.

“Syukur Alhamdulillah, seronok saya tengok keadaan Mamat sekarang. Dia sangat gembira, ceria, semakin pulih dan sihat, termasuk badannya juga sudah berisi. Semoga dia kembali pulih sepenuhnya.

“Mohon sama-sama kita terus mendoakan yang baik-baik buat Mamat agar dia dapat menjalani kehidupan lebih sihat selepas ini. Saya percaya, ramai yang sayangkan Mamat dan terus mendoakan kesejahteraannya.

“Pertemuan saya dengan Mamat baru-baru ini di Persatuan Pengasih Bentong adalah kali pertama kami mendapat kebenaran berjumpa dengannya. Selain saya, ada abang long dan abang ngah Mamat serta peguamnya, Azlina A Aziz,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azizul lagi, Mamat juga aktif dengan pelbagai aktiviti di dalam Persatuan Pengasih itu dan perubahan keadaan kesihatannya cukup melegakan hati keluarga kerana jelas dia didapati semakin pulih.

Pada 8 Julai lalu, Mamat yang sebelum ini berdepan dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019, berjaya dalam rayuan terhadap sabitan dan hukumannya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.

Penyanyi lagu Untukmu Ibu dan Salju Di Danau Rindu itu bagaimanapun dikenakan hukuman denda RM4,000 dan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top