Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya akan memperkukuh kerjasama dengan Majlis Olimpik Asia (OCA) menerusi pelaksanaan pelbagai program untuk meningkatkan ekosistem sukan di Malaysia dan rantau Asia.
Norza yang juga Naib Presiden OCA bagi Zon Asia Tenggara berkata ia selaras dengan hasrat beliau ketika dilantik memegang jawatan itu pada 8 September lalu.
“Kalau tengok pada hari sama pelantikan saya, OCA telah menjadikan Akademi Badminton Malaysia sebagai pusat prestasi tinggi untuk Asia terutama (bagi) membantu negara-negara yang masih membangun dalam badminton.
“Tentu banyak lagi program akan diadakan kerana mereka (OCA) sentiasa menghargai kebolehan Malaysia jadi kita akan melihat program lain yang boleh dilakukan bersama bagi memperkasakan sukan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Program Pembangunan Jurulatih dan Pengadil OCA di sini, hari ini.
Seramai 111 peserta membabitkan 19 negara Asia Tenggara dan Asia Tengah menyertai program yang berlangsung selama lima hari bermula Isnin lepas membabitkan sukan badminton, memanah dan renang.
Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata, program seumpama itu akan terus dianjurkan dengan sukan berbeza pada masa akan datang.
“Program ini akan berterusan dan saya akan memastikan dengan kedudukan saya di OCA kita akan cuba banyak lagi program berkenaan untuk memperkasakan lagi pengadil dan jurulatih di Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd