Mayat pelajar tahfiz lemas ditemui dalam keadaan mengiring dalam tali air

Mayat pelajar tahfiz lemas ditemui dalam keadaan mengiring dalam tali air

am@hmetro.com.my

Bachok: Kegembiraan tiga sahabat mandi di tali air berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas dalam kejadian di Kampung Padang Lati, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 14 tahun dipercayai pelajar tahfiz di sebuah pondok di daerah ini ditemui pada kedalaman tiga meter dalam keadaan mengiring.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Bachok, Pegawai Bomba Kanan II, Lokman Yusoh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 3.37 petang tadi.

Katanya, bomba melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tepi dan dasar tali air.

“Mayat mangsa berjaya ditemui jam 4.13 petang iaitu hampir satu jam pencarian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berkain pelikat tanpa baju. Hasil maklumat awal, mangsa dipercayai ke tali air untuk mandi bersama dua lagi rakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan 14 orang iaitu lapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok dan enam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pengkalan Chepa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Balai Polis Jelawat untuk pemeriksaan sebelum dihantar Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top