am@hmetro.com.my
Marang: Kejadian seorang lelaki melecur di muka dan tangan akibat letupan di kediamannya di Taman Emas Murni 2, Sungai Kerak, di sini, petang tadi, dipercayai berpunca daripada litar pintas pada suis penghawa dingin.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sufian Redzuan berkata, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai posmen berusia 37 tahun dikatakan baru pulang bekerja dan berseorangan dalam rumah berkenaan.
Katanya, pihaknya menjalankan siasatan awal di bahagian ruang tamu dan bilik tidur rumah teres berkenaan yang juga kawasan utama berlakunya kebakaran.
Mangsa, yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
“Kes diklasifikasikan sebagai kebakaran bangunan. Kita juga dalam proses untuk mendapatkan kenyataan mangsa untuk siasatan sekiranya terdapat unsur mencurigakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, isteri, mangsa, Norlimasaida Jusoh, 38, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa suaminya, Ahmad Noor Izwan Mohd Radzi, 37, selepas adik iparnya menghantar gambar keadaan suaminya yang terlantar dalam keadaan tubuhnya melecur menerusi Aplikasi WhatsApp selepas lima minit kejadian itu berlaku.
“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerja di Chendering. Sebelum itu saya ada menghubungi dia (suami) meminta menunggu saya untuk mengambil bayi di rumah pengasuh di Taman Gong Nangka, tidak jauh dari rumah.
“Sepuluh minit kemudian saya menerima hantaran WhatsApp daripada adik ipar (Noor Miswari, 27) yang menghantar gambar keadaan suami yang mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Norlimasaida berkata, letupan kuat itu mengakibatkan struktur rumah retak, siling runtuh dan beberapa keping nako pecah.
Jiran mangsa, Amira Husni Talib, 35, berkata, ketika kejadian dia bersama dua anak lelakinya berada dalam rumah sebelum terdengar bunyi letupan kuat dari rumah jirannya.
Malah, katanya, akibat letupan itu, sebahagian siling dapur dan ruang tamu rumahnya turut retak.
“Nak cakap petir, tapi bukan walaupun musim hujan, jadi saya pun tertanya-tanya tapi bunyi letupan itu sangat kuat sebelum suami yang berada di luar rumah memanggil keluar,” katanya.
Katanya, sebaik keluar rumah dia terkejut melihat jirannya dalam kesakitan dan berlumuran darah sebelum ambulans membawa mangsa ke hospital.
© New Straits Times Press (M) Bhd