sukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pengendali Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers), Wan Mustaffa Wan Ismail menaruh harapan tinggi perkhabaran ada pihak berminat untuk membeli kelab itu dengan nilai RM3.5 juta menjadi kenyataan dan bukan sekadar ‘sembang kedai kopi’.
Wan Mustaffa berkata, sejak tahun lalu lagi ada beberapa pihak berminat untuk membeli kelab itu selepas layak ke Liga Super dan beberapa proses sudah dilaksanakan untuk mengambil alih kelab berkenaan selain penajaan.
“Tapi akhirnya berkubur begitu sahaja dan kali ini timbul sekali lagi mengenai pembelian kelab KL Rovers dan saya tidak boleh beri sebarang kenyataan.
“Cuma harapan saya jika ada pengurusan dan penajaan baharu biarlah dilakukan seelok-eloknya.
“Yang penting kita mesti mencontohi Johor Darul Ta’zim (JDT), cara mereka menguruskan kelab yang sentiasa mengutamakan pemain dan saya kagum dengan cara mengurus kelab itu iaitu pemain harus diutamakan.
“Bukan kita ambil alih dan memegang jawatan, sebaliknya kita perlu utamakan pemain dan harus bertanggungjawab.
“Harus mementingkan pemain dengan diberi keutamaan dari segi latihan dan fasiliti lengkap selain bayaran gaji setimpal tepat pada masanya,” katanya.
Wan Mustaffa berkata, pemain adalah nadi utama sesebuah kelab kerana tanpa pemain, tiada pegawai dan jurulatih dalam kelab.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar tampil mengadakan pertemuan dengan pemain bagi mencari jalan penyelesaian sebelum mendedahkan ada dua pihak berminat untuk membeli KL Rovers yang ditawarkan pada harga RM3.5 juta.
© New Straits Times Press (M) Bhd