am@hmetro.com.my
Bintulu: Lelaki tempatan antara lapan maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Lebuhraya Pan-Borneo Sarikei-Sibu, dekat sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kesemua mangsa yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 3.40 petang.
Menurutnya, sebaik tiba didapati ada mangsa yang masih tersepit dalam kenderaan.
“Dua daripada mangsa yang menaiki Perodua Alza dilaporkan tercampak dari kenderaan yang dinaiki.
“Sementara dua lagi mangsa yang menaiki 4WD dilaporkan cedera dan dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam dan diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
Katanya, kesemua mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 5.50 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd