Menghidupkan Semangat Sains, Teknologi & Inovasi di Kemuncak Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan dan Karnival Minggu Sains Negara | Oh! Media

Menghidupkan Semangat Sains, Teknologi & Inovasi di Kemuncak Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan dan Karnival Minggu Sains Negara | Oh! Media

Putrajaya International Convention Centre (PICC) menjadi saksi kepada satu peristiwa penting dalam usaha membudayakan sains, teknologi, dan inovasi (STI) di Malaysia.

Kemuncak Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan dan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) berlangsung selama dua hari yang penuh pengisian dan pengetahuan baru pada 17 dan 18 November, dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

Karnival Ilmu dan Teknologi untuk Semua

Bermula dari April hingga Oktober 2024, Minggu Sains Negara berjaya menarik hampir 2.4 juta penyertaan secara dalam talian dan fizikal di lapan siri karnival di seluruh negara.

Dengan lebih 100,000 pengunjung yang hadir, aktiviti seperti demonstrasi sains, pameran interaktif, dan bual bicara yang menekankan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian menjadi tarikan utama.

Inisiatif ini bukan sahaja memupuk minat terhadap STI tetapi juga menunjukkan komitmen MOSTI selama tujuh tahun sejak pelancarannya pada 2018 dalam menyemarakkan kesedaran dan pembelajaran STI.

Malaysia Techlympics 2024: Generasi Muda Kuasai Teknologi

Di samping MSN, Malaysia Techlympics 2024 mencuri tumpuan dengan penyertaan lebih 652,000 pelajar dan belia sejak pelancarannya pada Julai.

Peringkat akhir menyaksikan 538 pasukan bersaing dalam cabaran teknologi seperti Artificial Intelligence (AI) yang kini semakin relevan dalam pelbagai sektor.

Menurut YB Chang Lih Kang, Menteri MOSTI, program seperti ini selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi, dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang bertujuan memperkukuhkan pembudayaan STI di Malaysia.

Anugerah Saintis Muda Negara: Penghormatan untuk Masa Depan

Kemuncak majlis ialah penyampaian Anugerah Saintis Muda Negara 2024 yang mengiktiraf usaha saintis muda dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). 

Lima kategori utama – Biologi, Fizik, Kimia, Perubatan, dan Kejuruteraan – menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 setiap penerima, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya merangkul 3 anugerah utama, menjadi universiti ini berada di landasan tepat dalam mengemudi bidang STI negara.

MOSTI percaya bahawa acara seperti ini bukan sekadar pertandingan atau pameran, tetapi langkah besar untuk melahirkan generasi inovator yang mampu mengangkat nama Malaysia di pentas global.

Berkesempatan menghadiri kemuncak penutupan semalam, penulis sempat berkunjung ke beberapa reruai dan melihat secara dekat acara yang dipertandingkan.

Kami berbangga melihat generasi muda menguasai bidang teknologi dan dapat berfikir secara kritis penyelesaian masalah untuk masa depan.

Acara yang menarik perhatian semestinya yang melibatkan rekaan dan aplikasi seperti Robot Sumo, Automated Guided Vehicle, 3D printing dan penerbangan dron. 

Bukan itu saja, kehadiran boardgame seperti Goolee juga berjaya membuat pengunjung berhenti untuk mencuba. Bukan permainan guli biasa, sebaliknya ia merupakan gabungan elemen permainan tradisional dan pendidikan, yang juga terdapat dalam versi B-Goolee untuk mereka yang mempunyai masalah penglihatan.

Menarik kan?

Teruskan Menghidupkan Semangat STI

Besar harapan kami dengan penganjuran seperti ini, masyarakat dapat melihat bidang STI sebagai sesuatu yang menyeronokkan untuk diterokai.

Untuk maklumat lanjut dan peluang menyertai program STI, lawati laman rasmi www.mytechlympics.com dan minggusainsnegara.mosti.gov.my.

Scroll to Top